JENAYAH_MAHKAMAH > BERITA

33 Kluster Jangkitan Influenza Dilaporkan Di Perak - Exco

02/12/2025 10:48 AM

IPOH, 2 Dis (Bernama) -- Sebanyak 65 kluster Influenza like Illness (ILI) telah dilaporkan di Perak setakat 29 Nov lepas, Dewan Undangan Negeri (DUN) diberitahu hari ini.

Pengerusi Jawatankuasa Sumber Manusia, Kesihatan, Hal Ehwal Masyarakat India dan Integrasi Nasional negeri A. Sivanesan berkata daripada jumlah berkenaan, sebanyak 33 ialah kluster jangkitan penyakit influenza.

“Daripada pemantauan kluster ILI yang telah dilaporkan dari ME (minggu epidemiologi) 1/2025 hingga ME 48/2025, sebanyak 36 kes influenza telah dimasukkan ke hospital,” katanya semasa sesi soal jawab pada persidangan DUN di sini.

Beliau menjawab soalan Shahrul Zaman Yahya (BN-Rungkup) tentang tindakan segera yang diambil oleh kerajaan negeri untuk memastikan penularan wabak influenza di sekolah-sekolah dapat dikawal dengan berkesan serta menjamin keselamatan dan kesejahteraan pelajar.

Sivanesan berkata terdapat tren peningkatan kluster ILI yang dilaporkan pada ME 40/2025 hingga ME 42/2025.

Bagaimanapun katanya, tren kluster ILI dilaporkan menurun daripada 17 kluster pada ME 42/2025 kepada satu kluster pada ME 43/2025, iaitu penurunan sebanyak 94.1 peratus, manakala tiada kluster ILI dilaporkan pada ME 47/2025.

Sementara itu, Sivanesan berkata sepanjang tahun ini, majoriti kluster ILI yang telah dilaporkan melibatkan golongan kanak-kanak.

Daripada pemantauan 65 kluster ILI yang telah dilaporkan, beliau berkata sebanyak 23 kluster ILI atau 35.38 peratus melibatkan kategori institusi pendidikan tahap sekolah menengah dan ke bawah, manakala hanya satu kluster ILI atau 1.54 peratus melibatkan institusi penjagaan warga emas.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan