JENAYAH_MAHKAMAH > BERITA

KKM Terima RM21 Juta Hasil Duti Eksais Minuman Bergula Untuk Perolehan Ubat SGLT2 Inhibitor

02/12/2025 01:05 PM

KUALA LUMPUR, 2 Dis (Bernama) -- Kementerian Kesihatan (KKM) menerima RM21 juta hasil kutipan duti eksais minuman bergula (SSB) untuk perolehan ubat Sodium-Glucose Transport Protein 2 (SGLT2) inhibitors yang memberikan manfaat kepada 49,128 pesakit.

Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata hasil kutipan duti eksais SSB mencecah RM54.9 juta bagi tempoh Januari hingga Ogos tahun ini, manakala RM68.6 juta direkodkan sepanjang 2024.

"Kita memberikan penekanan kepada SGLT2 inhibitors kerana ubat ini mempunyai kebaikan merawat penyakit diabetes mellitus type 2, dan pada waktu sama ubat ini mampu mengurangkan komplikasi buah pinggang kronik (CKD) dan memberikan perlindungan kardiovaskular.

" … ia mengurangkan risiko kemasukan ke hospital akibat kegagalan jantung dan kematian akibat penyakit kardiovaskular, memelihara fungsi buah pinggang dengan melambatkan perkembangan CKD serta mengawal tekanan darah dan berat badan," katanya.

Beliau menjawab soalan Wong Shu Qi (PH-Kluang) tentang jumlah kutipan SSB pada 2025 serta jumlah yang telah disalurkan, khususnya bagi pembiayaan ubat SGLT2 inhibitors dan pengembangan liputan program dialisis peritoneal KKM, pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat hari ini.

Dzulkefly berkata SSB mula dikenakan pada 1 Julai 2019 pada kadar 40 sen seliter, berdasarkan nilai ambang kandungan gula yang ditetapkan. 

Beliau berkata mulai 1 Jan 2024, kadar terbabit dinaikkan kepada 50 sen seliter, sebelum meningkat kepada 90 sen seliter berkuat kuasa pada 1 Jan tahun ini.

Mengenai rawatan dialisis peritoneal, Dzulkefly berkata KKM telah memperuntukkan RM40 juta untuk rawatan itu pada 2025 dengan 42 peratus pesakit menjalani rawatan berkenaan di fasiliti KKM, meningkat daripada 36 peratus pada 2020.

-- BERNAMA 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan