JENAYAH_MAHKAMAH > BERITA

Empat Sekolah Di Terengganu Masih Ditutup Akibat Banjir

02/12/2025 01:46 PM

KUALA TERENGGANU, 2 Dis (Bernama) -- Sebanyak empat sekolah di dua daerah di Terengganu masih ditutup susulan banjir yang melanda pada 22 Nov lepas.

Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri Terengganu Kamsah @ Kamal Mohamed berkata penutupan semua sekolah itu melibatkan 2,479 murid yang sedang menjalani proses Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) bermula Ahad lepas.

Beliau berkata dua sekolah iaitu Sekolah Kebangsaan (SK) Kepong dan SK Kampung Bukit, Cendering ditutup kerana dinaiki air manakala SK Atas Tol, Kuala Terengganu dan SK Paya Resak, Marang pula dijadikan pusat pemindahan sementara (PPS).

“SK Kepong dan SK Kampung Bukit ditutup kerana air masih bertakung di beberapa kawasan. Jadi, kami harapkan dengan cuaca yang cerah dan panas dalam tempoh dua tiga hari ini, keadaan akan kembali baik,” katanya selepas program pembersihan sekolah pascabanjir di SK Kedai Buloh di sini hari ini.

Turut hadir Pengarah Majlis Keselamatan Negara (MKN) Terengganu Wan Suhaini Wan Mohamad.

Kamsah @ Kamal berkata secara keseluruhan sebanyak 16 sekolah telah ditutup kerana dinaiki air manakala 48 lagi beroperasi sebagai PPS untuk menampung mangsa banjir gelombang pertama pada tahun ini.

Beliau berkata banjir kali ini agak luar biasa kerana sekolah yang tidak pernah dinaiki air turut ditenggelami banjir.

Justeru, beliau berkata pihaknya akan mengambil langkah berjaga-jaga bagi menangani situasi luar jangka demi keselamatan pelajar dan warga sekolah.

“Sebagai contoh SK Padang Mengkuang sebelum ini tidak pernah dinaiki air malah kami juga terpaksa membuka SK Paya Resak dan SK Tasek untuk dijadikan PPS kerana kawasan Bukit Payung dilanda banjir agak luar biasa.

“Kami juga telah siap siaga dan bersedia dengan OPS Payung sebagai persediaan untuk pembukaan sesi persekolahan tahun depan yang akan bermula lebih awal, iaitu pada 12 Jan,” katanya.

Beliau berkata Jabatan Pendidikan Negeri Terengganu (JPNT) kini sedang mengumpul data dan menilai kerosakan akibat banjir di beberapa sekolah sebelum laporan lengkap dikemukakan kepada Kementerian Pendidikan (KPM) dan Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA).

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan