JENAYAH_MAHKAMAH > BERITA

Penduduk Kampung Cacar Bimbang Hakisan Pantai Semakin Serius

02/12/2025 03:14 PM

DUNGUN 2 Dis (Bernama) -- Penduduk di Kampung Cacar, Paka di sini bimbang kejadian hakisan di pantai berkenaan akan menjadi semakin serius sekiranya tindakan menyelamat tidak diambil.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung Persekutuan (JPKKP) Cacar Baru Kamarudin Putih berkata hakisan di pantai itu mula meruncing sejak 2023 apabila beberapa resort dan kediaman penduduk mengalami kerosakan teruk.

“Pantai sejauh 10 kilometer itu perlu diselamatkan segera bagi mengelakkan hakisan lebih buruk selepas ini. Pada Monsun Timur Laut (MTL) dari November 2024 hingga Mac tahun ini, lima rumah telah musnah akibat hakisan dan penduduk terpaksa berpindah di tempat selamat,” katanya ketika ditemui Bernama di sini hari ini.

 Beliau berkata pihaknya menjangkakan resort dan hotel yang masih beroperasi di sepanjang pantai itu akan terancam kerana hakisan berlaku lebih lima meter setahun.

Sehubungan itu, Kamarudin berkata penduduk berharap supaya kerajaan dapat menyambung projek pembinaan benteng pemecah ombak di muara Sungai Paka yang telah disiapkan dua tahun lepas.

Beliau berkata projek pembinaan benteng bernilai lebih RM130 juta oleh kerajaan Persekutuan itu bertujuan mengatasi masalah muara cetek dan hakisan pantai.

“Pembinaan benteng baharu ini akan dapat membantu mengurangkan kesan hakisan di pantai ini pada masa hadapan,” katanya.

 Sementara itu, seorang penduduk Zahari Jusoh, 36, berkata beliau terpaksa berpindah pada Januari lepas apabila rumahnya rosak teruk dan tidak selamat diduduki akibat hakisan.

 Zahari berkata pada masa ini beliau bersama isteri dan empat anak terpaksa menyewa rumah di Taman Uda Paka.

“Sebahagian rumah yang didiami sejak kecil telah roboh dan dibawa arus ketika berlaku ombak besar pada Januari lepas,” katanya.

 -- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan