JENAYAH_MAHKAMAH > BERITA

Dewan Rakyat Lulus Dua RUU Berkaitan Perlindungan Pekerja

02/12/2025 05:06 PM

KUALA LUMPUR, 2 Dis (Bernama) -- Dewan Rakyat hari ini meluluskan Rang Undang-Undang (RUU) Keselamatan Sosial Pekerja (Pindaan) 2025 antara lain bertujuan memperkenalkan Skim Lindung 24/7 iaitu perlindungan menyeluruh kepada pekerja sepanjang masa termasuk di luar waktu bekerja.

Menteri Sumber Manusia Steven Sim berkata pelaksanaan skim berkenaan bakal memberi manfaat kepada hampir 10 juta pekerja formal di seluruh negara.

Ketika menggulung RUU itu di Dewan Rakyat, Sim berkata Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) mempunyai keupayaan untuk memastikan kelancaran pelaksanaan skim terbabit apabila dilaksanakan kelak.

“Purata tempoh masa pemprosesan (tuntutan) untuk tahun lepas di bawah PERKESO bagi setiap kes adalah lebih kurang 24 jam. Maksudnya, kecekapannya memang ada untuk memastikan kes diproses dengan segera.

“PERKESO memang tidak ada kompromi untuk memastikan kecekapan. Purata (masa diambil untuk memproses tuntutan) adalah 1.29 hari,” katanya.

Sim berkata kajian juga sedang dijalankan oleh pihak Kementerian Sumber Manusia (KESUMA) untuk memberikan insentif kepada pencarum yang tidak membuat sebarang tuntutan dalam tempoh tertentu.

Terdahulu, ketika membentangkan RUU itu bagi bacaan kali kedua, Sim berkata sebanyak 12,306 kes tuntutan ditolak PERKESO sejak 2023 hingga Oktober lepas selepas ia diputuskan sebagai bukan bencana kerja.

Beliau berkata jumlah itu menunjukkan wujud kepentingan untuk pelaksanaan Skim Keselamatan Bukan Bencana Kerja (SKBBK) yang dimasukkan dalam RUU Keselamatan Sosial Pekerja (Pindaan) 2025.

Pelaksanaan skim berkenaan, katanya bagi mengelak situasi ribuan keluarga yang terpaksa menanggung sendiri kos rawatan dan segala perbelanjaan pemulihan, hanya kerana kemalangan itu berlaku di luar waktu kerja.

RUU itu diluluskan dengan lebih suara bersetuju selepas dibahas 10 Ahli Parlimen kerajaan dan pembangkang.

Sementara itu, Dewan Rakyat turut meluluskan RUU Sistem Insurans Pekerjaan (Pindaan) 2025 yang antara lain bertujuan meningkatkan faedah kepada pencarum PERKESO kehilangan pekerjaan serta memperkukuh tadbir urus pelaksanaan Sistem Insurans Pekerjaan (SIP).

Timbalan Menteri Sumber Manusia Datuk Seri Abdul Rahman Mohamad ketika menggulung RUU tersebut berkata setakat 30 Nov lepas, sebanyak 57,094 atau 85.3 peratus pekerja telah menerima manfaat di bawah pelbagai faedah dalam SIP.

Beliau berkata jumlah berkenaan adalah daripada sebanyak 69,923 kes kehilangan pekerjaan yang telah direkodkan oleh PERKESO dalam tempoh lima tahun.

“Jumlah keseluruhan bayaran faedah SIP yang diluluskan ialah sebanyak RM437.19 juta dan kerajaan kekal komited memastikan bantuan ini terus disalurkan secara cepat, telus dan berkesan agar pekerja yang terkesan meneruskan kelangsungan hidup sementara mereka kembali memasuki pasaran pekerjaan,” katanya.

RUU itu diluluskan dengan lebih suara bersetuju selepas dibahas enam Ahli Parlimen kerajaan dan pembangkang.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan