JENAYAH_MAHKAMAH > BERITA

Air Sungai Bertukar Biru: Punca Belum Muktamad, Pasukan Petugas Ditubuh - MB Perak

02/12/2025 05:39 PM

IPOH, 2 Dis (Bernama) -- Punca mutlak berlakunya fenomena air Sungai Perak bertukar menjadi biru belum dimuktamadkan dan tiada bukti dapat mengesahkan kaitannya secara langsung dengan aktiviti perlombongan, kata Menteri Besar Datuk Seri Saarani Mohamad.

Beliau berkata pada Jumaat lepas Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Ahmad Suaidi Abdul Rahim mengetuai delegasi kerajaan negeri bagi mengadakan pertemuan dengan Ketua Setiausaha Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam, turut disertai ketua-ketua jabatan teknikal termasuk pihak Jabatan Mineral Geosains (JMG) Malaysia.

“Pertemuan itu cukup penting untuk kerajaan negeri mendapatkan kepastian berhubung isu-isu yang telah dibangkitkan, Alhamdulillah, pertemuan itu sedikit sebanyak merungkaikan beberapa perkara yang memerlukan pencerahan,” katanya ketika menggulung Enakmen Perbekalan 2026 di sini hari ini.

Saarani berkata berdasarkan rekod, fenomena air sungai menjadi biru pernah dilaporkan berlaku pada 2018 di kawasan yang hampir sama, ketika industri perlombongan unsur nadi bumi (REE) belum pun beroperasi di negeri Perak, didapati fenomena berkenaan berlaku ketika taburan hujan luar biasa berlaku.

“Pihak JMG juga mengesahkan kawasan Hulu Perak sememangnya kaya sumber mineral yang tinggi seperti bijih timah, tembaga, mangan, arsenik dan pirit. Setiap kali hujan, mineral dalam tanah boleh dibawa bersama ke sungai,” katanya.

Saarani berkata dengan taburan hujan yang luar biasa tinggi pada masa ini, lebih banyak tanah yang mengandungi mineral ini boleh dibawa ke dalam sungai.

Justeru, beliau berkata dengan kandungan mineral itu terdapat dua kemungkinan air berubah menjadi biru, iaitu cahaya matahari membiaskan kandungan mineral dalam air sungai menampakkan seolah-olah air berwarna biru, dan kehadiran mineral yang tinggi di dalam sungai menyebabkan larutan mineral seperti ferum sulfat dan tembaga sulfat boleh juga menampakkan air berwarna biru.

Selain itu, bacaan 13 becquerel yang dilaporkan sebelum ini diyakini menggunakan pengukuran instrumen Inductively Coupled Plasma Mass Spectrometry (ICPMS) yang hanya berkeupayaan menganalisis kepekatan mineral sesuatu elemen dalam unit peratus (%) atau bahagian per juta (ppm) atau bahagian per bilion (ppb), bukannya mengukur kandungan radioaktif sesuatu bahan.

“Sedangkan analisis sebenar bagi menentukan keradioaktifan sesuatu elemen atau bahan sepatutnya menggunakan instrumen seperti analisis penggiatan neutron, alpha spectrometry atau spektrometri sinar gama seperti yang lazim digunakan untuk mengukur tahap sebenar radioaktif,” katanya.

Sementara itu, beliau berkata satu pasukan petugas telah ditubuhkan pada peringkat kementerian yang turut disertai semua jabatan teknikal bagi meneliti, menyiasat, dan mencari justifikasi teknikal serta fakta lapangan terhadap semua isu yang timbul.

“Siasatan lanjut sedang diteruskan dan tindakan tegas akan diambil sekiranya disahkan berlaku pelanggaran SOP (prosedur operasi standard) atau peraturan di bawah Enakmen Mineral (Perak) 2003, Akta Pembangunan Mineral 1994 dan Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974,” katanya ketika menggulung Enakmen Perbekalan 2026 di sini hari ini.

Beliau berkata Jabatan Tenaga Atom juga akan membuat analisa komprehensif untuk mengukur tahap sebenar keradioaktifan di tapak projek perlombongan unsur nadir bumi (REE) di kawasan berkenaan.

Sehubungan dengan itu, kerajaan negeri mengambil sikap terbuka dan akan menyerahkan sepenuhnya kepada pihak berkuasa untuk melakukan siasatan dan menghormati sebarang ketetapan yang akan diputuskan kelak.

“Kerajaan negeri menyedari pentingnya industri berkenaan kepada kelangsungan ekonomi negeri, tetapi mempunyai pendirian yang jelas bahawa keselamatan rakyat dan kelestarian negeri garis yang tidak akan dilangkaui. 

“Kerajaan Negeri juga menyambut baik setiap cadangan yang dilontarkan oleh Ahli-Ahli Yang Berhormat berhubung ketegasan terhadap SOP perlombongan, pemantauan berkala bagi aktiviti tersebut, selain penguatkuasaan dan kawal selia rapi di tapak operasi perlombongan,” katanya.

Beliau berkata Kerajaan Negeri Perak tidak teragak-agak untuk menghentikan aktiviti perlombongan di kawasan jika terbukti ia mengancam kesihatan awam.

-- BERNAMA 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan