JENAYAH_MAHKAMAH > BERITA

Pindaan Akta FINAS Sejajar Dengan Perkembangan Pesat Industri Kreatif Negara

02/12/2025 08:17 PM

KUALA LUMPUR, 2 Dis (Bernama) -- Pindaan kepada Akta Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS) 1981 (Akta 244) bertujuan memastikan perbadanan itu kekal relevan susulan perubahan pesat dan perkembangan teknologi dalam penerbitan kandungan.

Ketua Pegawai Eksekutif FINAS Datuk Azmir Saifuddin Mutalib berkata pindaan merangkumi tiga skop utama iaitu pembangunan industri, tadbir urus serta pemantapan fungsi dan penguatkuasaan itu juga sejajar dengan perkembangan industri kreatif negara yang kini berada di titik tertinggi menerusi penghasilan filem pecah panggung terbanyak dalam tempoh 40 tahun.

Beliau berkata dalam aspek ekonomi, pindaan Akta 244 dan Dasar Filem Negara 2025 akan mengiktiraf industri itu sebagai pemacu penting dalam ekonomi kreatif serta penyumbang kepada Keluaran Dalam Negara Kasar.

“Bagi tempoh 10 tahun akan datang, industri filem, kreatif dan sebagainya adalah antara industri penting bagi menjana ekonomi negara... contohnya, lesen pawagam sahaja menjana hasil hampir RM2 bilion setahun,” katanya pada sesi taklimat khas Rang Undang-Undang (RUU) FINAS (Pindaan) 2025 di sini hari ini.

Azmir Saifuddin juga berkata pindaan itu tidak menyekat kreativiti sebaliknya melindungi pekerja industri kreatif dan aktiviti pembikinan filem serta kandungan.

Sebelum ini, Timbalan Menteri Komunikasi Teo Nie Ching membentangkan RUU itu untuk bacaan kali pertama di Dewan Rakyat pada 27 Nov lepas dan bacaan kali kedua dijangka esok.

Antara lain, RUU berkenaan bertujuan mengubah keanggotaan perbadanan itu bagi mengemas kini keanggotaannya mengikut keperluan semasa termasuk meniadakan jawatan Timbalan Pengerusi dan meluaskan kuasa FINAS untuk menyediakan latihan berkaitan perusahaan filem.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan