JENAYAH_MAHKAMAH > BERITA

Pusat Perubatan Sunway Bandar Sunway Raih Anugerah Teknologi Dan Inovasi Cemerlang 2025

02/12/2025 08:44 PM

KUALA LUMPUR, 2 Dis (Bernama) -- Pusat Perubatan Sunway Bandar Sunway (SMC) meraih Anugerah Teknologi dan Inovasi Cemerlang 2025 pada majlis penganugerahan Anugerah Kecemerlangan Perniagaan 2025 British Malaysian Chamber of Commerce (BMCC).

SMC dalam satu kenyataan hari ini memaklumkan, anugerah itu diberikan kepada organisasi yang berjaya memperkenalkan penyelesaian baharu dengan bantuan teknologi digital, inovatif atau teknologi pengganggu, khususnya dalam tempoh tiga tahun ini.

“Pengiktirafan ini membuktikan komitmen berterusan SMC dalam menerajui kemajuan teknologi bagi meningkatkan kecekapan klinikal dan operasi seiring dengan usaha Malaysia ke arah pendigitalan penjagaan kesihatan,” menurut kenyataan itu.

Ketua Pegawai Eksekutif SMC Dr Seow Vei Ken berkata pendekatan hospital itu adalah untuk menerapkan teknologi canggih baharu dan mendigitalkan perkhidmatan penjagaan kesihatan sekali gus meningkatkan pengalaman pesakit, menambah baik kecekapan operasi dan persekitaran kerja untuk pasukan klinikal. 

“Dengan teknologi kesihatan yang berkembang dengan cepat, pengiktirafan ini menguatkan lagi komitmen kami untuk terus meningkatkan standard dan terus kekal menerajui penjagaan kesihatan pintar di Malaysia,” katanya dalam kenyataan itu.

SMC secara konsisten memperkenalkan pelbagai teknologi dan inovasi terkini, termasuk robotik, perubatan ketepatan dan automasi dan meningkatkan usaha untuk pendigitalan serta integrasi kecerdasan buatan (AI) dalam operasinya.

Antara teknologi yang diperkenalkan ialah sistem pemprosesan spesimen makmal mikrobiologi automatik pertama di Malaysia - Walk Away Sample Processor (WASP), Sistem Maklumat Hospital berasaskan awan dan Rekod Perubatan Elektronik (HIS/EMR) dengan Computerised Physician Order Entry (CPOE), Sistem Automasi Farmasi Pesakit Luar (OPAS), serta Annalise AI untuk Pengimejan Radiologi.

"SMC turut memperkenalkan teknologi robotik canggih dalam pelbagai perkhidmatan klinikal, termasuk Mako SmartRobotics, ROSA® Knee System dan VELYS™ Robotic Assisted Solution yang menyokong pelbagai prosedur penggantian sendi.

"Ia juga hospital pertama di Asia Tenggara yang memasang Sistem Pembedahan Tulang Belakang AiBLE secara komersial untuk prosedur tulang belakang berketepatan tinggi; serta menjadi hospital pertama di Malaysia yang menggunakan da Vinci Xi Robotic Surgical System bagi prosedur invasif minimum untuk kegunaan pelbagai kepakaran klinikal.

Menurut SMC, pencapaian itu mengukuhkan lagi kejayaan sebagai Hospital Pintar Terbaik Dunia 2026 oleh Newsweek (Newsweek’s World's Best Smart Hospitals 2026), tersenarai sebagai antara 350 hospital terbaik dunia dan teratas di Malaysia, baru-baru ini.

Setakat 2025, SMC menempatkan lebih daripada 300 pakar perubatan tetap, 80 bidang kepakaran, dan disokong oleh 28 Pusat Kecemerlangan.

 "Ia juga hospital pertama di Malaysia yang memperoleh tiga akreditasi utama hospital: The Gold Seal of Approval, Suruhanjaya Bersama Antarabangsa (JCI) dari Amerika Syarikat; Majlis Piawaian Kesihatan Australia Antarabangsa (ACHS International); serta Persatuan Kualiti Kesihatan Malaysia (MSQH).

Dilancarkan pada tahun 2018, Anugerah Kemerlangan Perniagaan 2025 BMCC menghargai kerjasama komersial yang kukuh antara United Kingdom (UK) dan Malaysia.

 Ia mengiktiraf prestasi terbaik perniagaan kedua-dua negara dalam pelbagai kategori anugerah.

-- BERNAMA 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan