JENAYAH_MAHKAMAH > BERITA

PM Anwar Rasmi Majlis Penutupan Rancakkan MADANI

07/12/2025 02:39 PM

PUTRAJAYA, 7 Dis (Bernama) -- Majlis perasmian penutupan program Rancakkan MADANI Bersama Malaysiaku dan Konvensyen Nasional Reformasi Perkhidmatan Awam Tahun 2025 hari ini diserikan dengan kehadiran Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim yang akan menyempurnakan penutupan program tiga hari itu.

Program yang bermula pada 11 pagi itu dimulakan dengan nyanyian lagu Negaraku, disusuli bacaan ikrar Rukun Negara oleh petugas Kementerian Perpaduan Negara Muhammad Ismail Aminuddin, persembahan pembukaan daripada Biduanita Negara Datuk Seri Siti Nurhaliza Taruddin, sebelum disusuli dengan ucaptama Anwar.

Perdana Menteri juga dijadual meluncurkan projek rakyat, iaitu Sahabat Penggerak MADANI dan Skim Insuran Kesejahteraan Rakyat (SIKR) 3.0.

Penganjuran program itu bagi mengangkat manisfestasi pencapaian dan kejayaan semasa Kerajaan MADANI, khususnya sepanjang 2025 serta mempromosi dan menyebar luas Agenda Reformasi Perkhidmatan Awam (ARPA).

Program itu menampilkan lapan segmen utama, iaitu Produk Rakyat MADANI, Kesejahteraan Rakyat MADANI, ARPA, Kepengerusian ASEAN, Ukhwah Rakyat MADANI, Jualan MADANI, Belia MADANI dan Tahun Melawat Malaysia 2026.

Ia dianjurkan oleh Unit Penyelarasan Lonjakan Prestasi (PACU) Pejabat Perdana Menteri dengan kerjasama Jabatan Perkhidmatan Awam dan Perbadanan Produktiviti Malaysia.

Antara acara menarik pada hari ini, kemunculan kedua-dua Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Datuk Seri Fadillah Yusof pada forum kelima bagi mengupas perbincangan forum bertajuk Kerajaan MADANI: Retrospektif dan Memeta Perjalanan ke Hadapan.

Antara pengisian hari terakhir di pentas utama termasuk sesi cabutan bertuah dan demonstrasi Cucian Lestari oleh Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA) serta Indah Water Konsortium (IWK).

Keseluruhan pengisian berkenaan bukan sahaja menyerlahkan usaha memperkukuh perpaduan, pendidikan, seni dan syiar Islam, tetapi juga usaha Kerajaan MADANI untuk memperlihatkan keberhasilan pentadbiran selama tiga tahun.

Selain pengisian dasar, pelbagai program tarikan telah disediakan sebagai penghargaan kepada pengunjung termasuk Jualan MADANI yang menawarkan potongan harga bagi barangan keperluan seperti jualan ‘balik ke sekolah’ dan karnival kerjaya membabitkan 30 majikan dengan lebih 5,000 peluang pekerjaan ditawarkan. 

Antara majikan yang mengambil bahagian ialah FGV Holdings Bhd, SD Guthrie, Bank Rakyat, Bank Simpanan Nasional, Top Glove, Amanah Raya, Mandarin Oriental, Ranhill Technologies, West Port, Port of Tanjung Pelepas dan Columbia Asia sekali gus menjadikannya antara platform padanan pekerjaan terbesar menjelang penutup 2025.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan