Oleh Farhana Abd Kadir
SHAH ALAM, 7 Dis (Bernama) -- Selangor terus memperkasakan Program Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) bagi memenuhi permintaan tenaga mahir dalam sektor bernilai tinggi seperti automasi, kecerdasan buatan (AI), bioteknologi dan aeroangkasa.
Usaha itu dilihat sebagai satu langkah strategik bagi memacu pembangunan ekonomi berteknologi maju, sekali gus mengekalkan kedudukan negeri sebagai hab industri utama negara.
Timbalan Pengarah Akademik Politeknik Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah (PSA) Ts Dr Ahmad Aftas Azman berkata perluasan program TVET yang diselaraskan dengan keperluan industri dijangka meningkatkan peluang pekerjaan berkemahiran tinggi dalam tempoh lima hingga 10 tahun.
Beliau berkata menerusi kurikulum yang direka selaras dengan keperluan industri, pelajar bukan sahaja dapat mengintegrasikan elemen Revolusi Industri 4.0, malah memperoleh kemahiran yang menepati keperluan pasaran global.
“PSA merupakan institusi TVET utama di Selangor yang menyokong aspirasi kerajaan negeri untuk memperluas pendidikan teknikal dan melahirkan tenaga mahir dalam sektor bernilai tinggi.
“Dengan program akademik yang inklusif dan direka mengikut keperluan industri, PSA menawarkan program TVET berpiawaian tinggi supaya graduan mudah memasuki pasaran kerja dalam sektor industri berteknologi tinggi terutamanya yang dibangunkan di sekitar Selangor,” katanya kepada Bernama.
Ahmad Aftas berkata program akademik yang inklusif itu berupaya mengukuhkan Selangor sebagai hab teknologi dan ekonomi bernilai tinggi, sambil meningkatkan kemahiran dan kebolehpasaran graduan.
Beliau berkata usaha itu juga akan membawa impak langsung terhadap peningkatan tenaga kerja mahir serta pembangunan bakat masa hadapan.
Sementara itu, Pensyarah Utama Program Diploma Kejuruteraan Mekanikal (Pembungkusan Perindustrian) Jabatan Kejuruteraan Mekanikal PSA Ts Somchai Enoi berkata laluan kerjaya TVET yang meluas membantu ramai belia memasuki industri berteknologi tinggi.
“Berdasarkan pengalaman saya mengajar, perubahan paling ketara ialah peningkatan keyakinan, kemahiran teknikal dan kebolehpasaran belia di Selangor sehingga ada yang berjaya memasuki industri khusus seperti pembungkusan industri, elektronik perubatan dan pembuatan berteknologi tinggi, yang merupakan sektor semakin berkembang di Selangor.
“Graduan TVET bukan sahaja mengisi permintaan tenaga mahir, malah menjadi penyelesai masalah di lapangan yang memastikan kelancaran operasi industri,” katanya.
Sebelum ini, Ketua Pegawai Eksekutif Invest Selangor Berhad Datuk Hasan Azhari Idris dilaporkan berkata Selangor memperluas program TVET bagi memenuhi keperluan sektor bernilai tinggi seperti AI, automasi, bioteknologi dan aeroangkasa.
Katanya strategi itu selari dengan usaha kerajaan Persekutuan membangunkan Central Region Initiative, iaitu pemangkin pertumbuhan ekonomi baharu negara.
Kerajaan Selangor juga memperkenalkan program Selangor Career Outreach (SCOUT) bagi memastikan bekalan tenaga mahir sentiasa mencukupi.
Dengan pemerkasaan TVET serta inisiatif seperti SCOUT dan kolaborasi strategik bersama industri, Selangor dijangka terus mengukuhkan kedudukannya sebagai hab teknologi dan ekonomi bernilai tinggi di Malaysia.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial