AM

‘Cashless Society' Perkasa Ekonomi Masyarakat Felda

26/09/2024 12:05 PM

Oleh Sakini Mohd Said

PEKAN, 26 Sept (Bernama) -- Warga Felda Chini Timur 2 kini tidak perlu lagi menempuh perjalanan sejauh 60 kilometer (km) untuk ke pekan terdekat hanya untuk mendapatkan wang tunai apabila kaedah transaksi tanpa tunai atau cashless diperkenalkan.

Ekosistem pendigitalan yang menyaksikan transaksi pembayaran lebih cepat dan selamat dilihat berprospek tinggi sebagai momentum terbaik memacu ekonomi luar bandar sekali gus menarik minat generasi kedua dan ketiga peneroka Felda untuk terlibat dalam bidang keusahawanan. 

Justeru, impak positif kewujudan masyarakat tanpa tunai atau cashless society dikenal pasti sebagai peluang dalam mempelbagaikan lagi cabang serta pemerkasaan ekonomi warga Felda tanpa perlu mencari pekerjaan di luar kawasan berkenaan.

Ketua Peneroka Felda Chini Timur 2 yang juga Tok Empat, Muhamad Sarid Abd Manaf ketika ditemui Bernama berkata akses tanpa tunai yang menjadi komitmen kerajaan itu menjadi harapan baharu warga Felda terutama golongan usahawan muda yang berhadapan masalah kebergantungan kepada wang tunai.

“Di Felda Chini Timur 1, ada satu ATM (mesin pengeluaran wang automatik) dan dua di Pusat Tenun Chini 3, tetapi selalu tak cukup wang apabila tiba akhir bulan, masa orang dapat gaji dan ATM itu juga selalu rosak. 

“Apabila jadi begini, ATM paling dekat ialah di bandar Muadzam Shah atau Pekan. Tapi agak jauh dan susah bagi mereka yang tiada kenderaan. Nampak bukan masalah besar tetapi apabila susah dapat wang tunai, ia menyukarkan peniaga kecil dan masyarakat di sini,” katanya. 

Justeru, Muhamad Sarid melihat pelancaran program Masyarakat Tanpa Tunai atau Cashless Society dapat memperkasakan agenda ekonomi komuniti setempat menerusi peralihan wang tunai kepada transaksi digital Kod Respons Pantas (Kod QR) dalam urusan jual beli.

Menyifatkan ia sebagai pendorong kepada peniaga mikro dan kecil untuk berkembang seiring kemajuan terkini, Norlaila Azua Johari, 33, melihat usaha itu sebagai komitmen kerajaan bagi memastikan penduduk luar bandar tidak diketepikan dalam pembangunan masyarakat tanpa tunai. 

“Saya berniaga ayam gunting dan air minuman sejak 2017 dan mula menggunakan kaedah transaksi tanpa tunai pada hujung 2022. Ia sebenarnya bukan sahaja memudahkan tetapi membantu saya menyelesaikan masalah menerima wang rosak daripada pelanggan. 

“Kita tidak sedar terima wang koyak daripada pelanggan sebab mereka lipat dan biasanya terjadi ketika waktu sibuk, pelanggan tengah ramai. Lebih RM1,000 jugalah saya rugi sepanjang tempoh itu sebelum beralih kepada pembayaran tanpa tunai,” katanya. 

Bagaimanapun, Norlaila berkata peniaga tetap berdepan masalah setelah beralih kepada transaksi digital apabila ada pelanggan cuba menipu transaksi pembayaran.

“Apabila kita sudah mempunyai kesedaran mengenai teknologi pendigitalan, kenalah sentiasa meningkatkannya dan untuk itu, saya menambah baik transaksi ini dengan pembelian soundbox QR yang akan berbunyi setiap kali pelanggan membuat bayaran,” katanya. 

Tidak sabar untuk mengembangkan perniagaan apam balik yang diusahakan hampir dua tahun lepas, Muhammad Firdaus Hamdan, 18, berkata prospek perniagaan makanan di penempatan Felda dan juga kawasan sekitar adalah tinggi dan kemudahan digital itu akan dimanfaat sebaik mungkin.

“Sebelum ini, saya pernah terpaksa sewa kereta melibatkan kos sekitar RM100 ke bandar semata-mata mendapatkan wang tunai untuk pembelian bahan dan berniaga. Memang susah apabila terlalu bergantung kepada wang tunai dan ATM, kadang-kadang bermasalah.

“Jadi, pembayaran melalui kod QR sangat membantu dan selamat. Di sini tidak ada isu kecurian tetapi yang dibimbangi adalah wang tercicir sebab sibuk layan pelanggan dan sediakan apam balik. Jadi transaksi seperti ini sangat membantu usahawan kecil luar bandar,” katanya.

Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Chini Mohd Sharim Md Zain ketika merasmikan program berkenaan berkata agenda tersebut seiring dengan visi kerajaan negeri melalui Pelan Digital Pahang (2021-2025) untuk mewujudkan ekosistem digital yang kondusif dan berintegrasi antara kerajaan, rakyat dan swasta. 

Selain membudayakan gaya hidup digital dalam kalangan rakyat, ia juga membantu meningkatkan imej Pahang sebagai negeri berdaya maju dan digital-ready bagi menarik pelabur, katanya. 

“Di Pahang, program Cashless @ NADI ini sedang dilaksanakan di 15 lokasi termasuk di NADI Felda Chini Timur 2. Tumpuan utama inisiatif ini adalah keperluan bagi peniaga di peringkat mikro dan kecil dapat menerima serta mengguna pakai bayaran tanpa tunai.

“Kita akan menggunakan pusat NADI untuk membantu masyarakat di sini mendapatkan maklumat berkaitan masyarakat tanpa tunai,” katanya.

Program Cashless @ NADI Felda Chini Timur 2 adalah inisiatif berimpak tinggi yang dijalankan oleh kerajaan Persekutuan menerusi Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) bagi memacu pertumbuhan ekonomi digital negara selari dengan Pelan Sektor Kewangan 2022-2026 yang menyasarkan purata seorang individu melakukan 400 transaksi digital menjelang 2026.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan