EKONOMI

Malaysia Perkasa Lebih 500,000 Usahawan Wanita Melalui Program Kewangan Mikro - Raja Zarith Sofiah

26/09/2024 06:15 PM

KUALA LUMPUR, 26 Sept (Bernama) -- Malaysia komited terhadap pemerkasaan ekonomi wanita dengan menyokong lebih 500,000 usahawan dalam kalangan komuniti itu melalui program kewangan mikro, titah Raja Permaisuri Agong Raja Zarith Sofiah.

Seri Paduka Baginda bertitah program berkenaan menyediakan modal dan latihan untuk usahawan wanita memulakan serta mengembangkan perniagaan mereka.

Raja Zarith Sofiah juga menyifatkan inisiatif “Digital Divas” telah melengkapkan 100,000 wanita dengan kemahiran digital yang membolehkan mereka berkembang maju dalam ekonomi gig dan sektor e-dagang.

“Kami juga memberi tumpuan untuk mengurangkan jurang gaji mengikut gender melalui kempen 'Gaji Sama untuk Kerja yang Sama' bagi meningkatkan kesedaran dan mendorong banyak syarikat untuk menyemak dan membetulkan struktur pampasan mereka,” titah Seri Paduka Baginda menerusi ucapan pada Sidang Kemuncak Ekonomi dan Perniagaan Wanita Sedunia 2024 (WWEBS 2024), di sini, hari ini.

Raja Zarith Sofiah juga bertitah walaupun masih terdapat cabaran dalam kalangan masyarakat terpinggir, Malaysia komited untuk tidak meminggirkan golongan wanita menuju ke arah matlamat yang akan memacu negara dalam mendukung kesaksamaan gender dan pemerkasaan wanita.

Raja Permaisuri Agong bertitah, beberapa matlamat ini dan strategi yang dilaksanakan untuk mencapainya termasuk mengurangkan jurang gaji antara gender kepada kurang daripada lima peratus menjelang 2030 dan memastikan 40 peratus jawatan pengurusan kanan dipegang oleh wanita menjelang 2035.

"Untuk mencapai matlamat ini, kita memerlukan usaha kolaborasi daripada semua sektor masyarakat. Saya menyeru kepada semua termasuk pemimpin, usahawan dan pembawa perubahan untuk berganding bahu dalam usaha mulia ini.

"Marilah kita saling bekerjasama untuk membina dunia agar setiap wanita dan gadis dapat mencapai potensi penuh mereka," titah Seri Paduka Baginda.

Raja Zarith Sofiah bertitah Malaysia perlu mempelajari amalan terbaik dalam usaha pemerkasaan wanita di seluruh dunia dan menyesuaikannya dengan konteks tempatan bagi membangunkan penyelesaian inovatif yang dapat menangani cabaran unik negara.

“Melalui pendekatan ini, kami berharap dapat mewujudkan model pemerkasaan wanita yang mantap di Malaysia dan juga relevan di peringkat global,” titah Seri Paduka Baginda.

WWEBS 2024 diadakan bertujuan untuk menyerlahkan peranan penting yang dimainkan oleh wanita dalam memacu kemajuan merentas semua sektor masyarakat.

Tema pada tahun ini, "Wanita Juara, Semarakkan Kemajuan", menekankan kepentingan menggalakkan kesaksamaan gender, meluaskan akses kepada pendidikan dan memastikan kemajuan kerjaya untuk wanita dalam setiap industri.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan