AM

MB Perak Akan Menghadap Sultan Nazrin Bentang Laporan Kegiatan GISBH

27/09/2024 01:12 PM

LENGGONG, 27 Sept (Bernama) -- Menteri Besar Datuk Seri Saarani Mohamad akan menghadap Sultan Perak Sultan Nazrin Shah bagi membentangkan laporan penuh berhubung kegiatan GISB Holdings Sdn Bhd (GISBH) di negeri ini dalam masa terdekat.

Beliau berkata laporan itu sedang dilengkapkan oleh Jabatan Agama Islam Perak (JAIPk) yang merupakan pihak bertanggungjawab mengendalikan isu berkenaan.

“Saya telah minta JAIPk mengumpul maklumat dan data untuk buat laporan. Secara kebetulan, Sultan Nazrin juga merupakan Pengerusi Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia (MKI) yang mengendalikan isu ini.

“Bagi pihak saya, tidak dinafikan kegiatan kumpulan ini sememangnya wujud (di negeri ini) dan sedang dalam pantauan rapi pihak polis,” katanya selepas merasmikan Majlis Pelepasan Rimba Raid Lenggong 2024 di Kampung Beng di sini hari ini.

Sebelum ini, Jawatankuasa Fatwa Negeri Perlis memutuskan kepercayaan dan ajaran GISBH mengandungi unsur ajaran sesat khususnya batiniah.

Terengganu juga dalam perancangan sama, namun sedang mengumpul bukti yang mengaitkan organisasi terbabit dengan unsur bertentangan dengan ajaran Islam.

Saarani berkata keputusan untuk memfatwakan GISBH sebagai organisasi haram hanya akan dibuat selepas Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan mengeluarkan ketetapan berhubung organisasi berkenaan.

Dalam perkembangan sama, beliau berkata sebanyak 55 kanak-kanak berjaya diselamatkan dari rumah amal milik GISBH di seluruh negeri Perak sejak Op Global dilaksanakan pada 21 Sept lepas.

Beliau berkata kesemua kanak-kanak berkenaan kini ditempatkan di sebuah rumah perlindungan yang dipantau penuh Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan