EKONOMI

OB Holdings Yang Bakal Disenaraikan Di Pasaran ACE Sasar Raih RM28.8 Juta Daripada IPO

27/09/2024 03:39 PM

KUALA LUMPUR, 27 Sept (Bernama) -- OB Holdings Bhd (OB Holdings) menyasar meraih RM28.8 juta daripada tawaran awam permulaan (IPO) susulan penyenaraiannya di Pasaran ACE Bursa Malaysia pada 29 Okt, 2024.

OB Holdings menyediakan perkhidmatan pengilangan menyeluruh dan boleh disesuaikan sepenuhnya untuk makanan dan minuman diperkaya serta makanan tambahan diet kepada pemilik jenama pihak ketiga.

Pengarah Urusannya Teoh Eng Sia berkata daripada jumlah hasil IPO tersebut, sebanyak RM14.9 juta akan digunakan untuk membayar balik pinjaman bank bagi pembinaan kilang baharu dan pembelian tanah di Serendah, Selangor.

"Kilang baharu ini akan memberikan kami ruang pengilangan yang lebih besar, membolehkan kami menyesuaikan susun atur kilang dan mengoptimumkan konfigurasi mesin," katanya.

Beliau berkata pembinaan fasa satu yang merangkumi keluasan tanah 210,420 kaki persegi, bermula pada Januari 2024 dan dijangka siap pada separuh pertama 2025.

Syarikat juga menjangka pengeluaran komersial daripada kilang baharu itu akan bermula pada pertengahan 2026 dan fasa kedua yang merangkumi keluasan tanah 44,843 kaki persegi akan dibangunkan pada masa depan untuk rancangan pengembangan.

OB Holdings juga merancang untuk menggunakan RM0.9 juta daripada hasil IPO untuk membina makmal baharu di kilang baharu dan menjalankan ujian klinikal untuk Bonlife SachaQ10 Plus Softgel, produk baharu mereka.

Baki dana akan digunakan untuk tujuan operasi am termasuk RM1 juta bagi aktiviti pemasaran dan pengiklanan, RM3 juta bagi modal kerja dan RM4 juta untuk menampung perbelanjaan berkaitan IPO.

Menurut prospektus, syarikat itu akan mempunyai permodalan pasaran sebanyak RM93.99 juta dan modal saham terbitan yang diperbesarkan sebanyak 391.63 juta saham.

IPO itu akan melibatkan terbitan 120 juta saham biasa baharu, mewakili 30.6 peratus daripada modal saham terbitan syarikat yang diperbesarkan.

Permohonan untuk terbitan awam dibuka mulai hari ini dan akan ditutup pada 15 Okt, 2024, pada 5 petang.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan