EKONOMI

Petronas, Mitsubishi Meterai Perjanjian Baharu Penghantaran LNG

27/09/2024 04:15 PM

KUALA LUMPUR, 27 Sept (Bernama) -- Petroliam Nasional Bhd (Petronas) dan Mitsubishi Corporation menandatangani perjanjian baharu untuk memanfaatkan lagi keupayaan Petronas dalam menghantar gas asli cecair (LNG) ke pasaran antarabangsa, terutama sasaran pelanggan di Jepun.

Perjanjian itu menetapkan pelaburan Mitsubishi Corporation dalam projek Malaysia LNG (MLNG) Dua dan MLNG Tiga untuk dekad akan datang.

Perkara itu merangkumi lanjutan 10 peratus pegangan saham ekuiti dalam MLNG Dua dan melabur semula pegangan ekuiti 10 peratus dalam MLNG Tiga.

Dalam kenyataan pada Jumaat, Petronas menjelaskan perjanjian itu mengesahkan penyertaan berterusan Mitsubishi Corporation dalam kedua-dua usaha niaga tersebut, serta dalam aktiviti pemasaran berkaitan dan penghantaran LNG dari Bintulu ke Jepun.

Perkongsian strategik itu menekankan landskap ekonomi Malaysia yang teguh, khususnya di Sarawak, sebagai destinasi menarik untuk pelaburan langsung asing.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Petronas Tan Sri Tengku Muhammad Taufik berkata berlandaskan sinergi yang diperkukuh, syarikat minyak dan gas negara itu mengharapkan kejayaan seterusnya dalam projek MLNG Dua dan MLNG Tiga.

“Bergandingan dengan Mitsubishi Corporation dan dengan sokongan kerajaan negeri Sarawak, Petronas kekal komited sepenuhnya untuk memastikan bekalan LNG yang terjamin dan boleh dipercayai untuk memacu ekonomi Malaysia, Jepun dan pelanggan global kami di samping kami berusaha ke arah masa depan yang mampan, lebih rendah karbon,” katanya.

Kompleks LNG Petronas, dengan kerjasama Mitsubishi Corporation, telah membekalkan LNG kepada pembeli kontrak jangka panjang Jepun sejak 1983.

Petronas turut berkongsi bahawa kompleks itu meliputi empat usaha sama: MLNG, MLNG Dua, MLNG Tiga, dan PETRONAS LNG 9, dengan gabungan kapasiti pengeluaran sebanyak 29.3 juta tan setahun (MTPA), menjadikannya antara kemudahan LNG terbesar dunia di lokasi tunggal.

Sebagai tambahan kepada perniagaan gas asli teras di Malaysia, Mitsubishi Corporation juga terlibat dalam 10 blok huluan gas di Sarawak.

Syarikat itu telah mengembangkan pelaburan di Malaysia mencakup sektor lain seperti automotif, makanan, petrokimia, logam dan keluli, menyumbang jumlah pelaburan kira-kira RM5 bilion kepada negara tahun lepas.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan