AM

Sanusi Menjunjung Kasih Sultan Selangor Perkenan Permohonan Ampun

27/09/2024 05:52 PM

ALOR SETAR, 27 Sept (Bernama) -- Menteri Besar Kedah Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor merakamkan ucapan menjunjung kasih atas limpah perkenan Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah menerima permohonan ampun sebagaimana yang dititahkan baginda, semalam.

Muhammad Sanusi juga berazam akan mematuhi titah nasihat Sultan Selangor untuk lebih berhati-hati serta menjaga tutur kata khususnya ketika berada di Selangor.

“Mudah-mudahan sifat pengampun dan kebaikan hati yang ada pada DYMM Tuanku Sultan akan membawa lebih banyak kebaikan serta menambahkan lagi daulat dalam pemerintahan DYMM Tuanku serta menjadikan Negeri Selangor Darul Ehsan negeri yang diberkati serta dilimpahi rahmat oleh Allah SWT,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Muhammad Sanusi turut mendoakan Sultan Sharafuddin dipanjangkan usia oleh Allah SWT serta berada dalam keadaan sihat walafiat untuk terus melaksanakan tanggungjawab memerintah penuh adil dan cemerlang.

Semalam, Sultan Sharafuddin berkenan menerima permohonan ampun dan maaf daripada Muhammad Sanusi.

Sultan Sharafuddin dalam warkah perkenan ampun yang dimuat naik menerusi hantaran Facebook Selangor Royal Office memaklumkan bahawa baginda mempertimbangkan dan menerima permohonan ampun dan maaf itu, atas nama ukhuwah sesama Islam serta bangsa Melayu.

Pada Rabu, Muhammad Sanusi memohon ampun kepada Sultan Selangor berikutan kenyataan beliau yang dianggap menghina dan tidak menghormati baginda pada Julai tahun lepas.

-- BERNAMA


 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan