EKONOMI

MIBS 2024 Sasar Transaksi Bernilai RM10 Juta, 25 MoU Dimeterai

27/09/2024 06:02 PM

KUALA LUMPUR, 27 Sept (Bernama) -- Pameran Penjenamaan Antarabangsa Malaysia (MIBS) 2024 ke-19 menyasarkan untuk mencapai transaksi bernilai RM10 juta di samping memupuk kerjasama perniagaan antarabangsa yang penting.

Presiden Persatuan Usahawan Wawasan Wanita Malaysia (Wawasanita) selaku penganjur bersama MIBS 2024, Dr Norli @ Norlaili Alias berkata, sebanyak 25 memorandum persefahaman (MoU) dijangka dimeterai di antara perniagaan tempatan dengan syarikat antarabangsa pada program yang bermula 28-30 Nov 2024.

Menurutnya sasaran itu dibuat berdasarkan penyertaan syarikat daripada 14 wilayah di China, menawarkan peluang unik kepada usahawan tempatan untuk mempamerkan produk dan menjalin perkongsian dengan penggiat global.

“Wawasanita menyifatkan MIBS 2024 sebagai acara penting, dengan sasaran transaksi bernilai RM10 juta sama ada melalui pengeluar peralatan tulen atau usaha sama,” katanya pada sidang media di sini hari ini.

MIBS 2024 edisi ke-19 akan diadakan di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur yang menghimpunkan pelbagai pempamer dan wilayah.

Norli berkata acara itu menyediakan platform terbaik kepada usahawan Malaysia untuk meneroka peluang global, mengembangkan pasaran dan memanfaatkan teknologi terkini dari China bagi penjenamaan semula atau pembungkusan semula produk.

Senarai peserta turut melibatkan syarikat tempatan di bawah program Gate to Global Majlis Amanah Rakyat (Mara).

Sementara itu, Pengarah Urusan ES International Event Management Sdn Bhd iaitu syarikat pengurusan acara MIBS, Datuk Chong Chong Tik berkata, antara yang menarik perhatian dalam MIBS tahun ini adalah Pameran Komoditi Import dan Eksport Malaysia 2024 yang diadakan untuk julung kalinya. 

Beliau berkata ekspo itu akan dibahagikan kepada empat kategori iaitu Ekspo Pakaian dan Fabrik Antarabangsa Malaysia; Pameran Komoditi Pintar Antarabangsa Malaysia; Ekspo Produk Makanan Kesihatan Tradisional dan Komplementari Antarabangsa Malaysia; dan Ekspo Makanan dan Minuman Antarabangsa Malaysia.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan