AM

Cadangan Pelabuhan Bersepadu Labuan Belum Diputuskan - Hasbi

27/09/2024 06:57 PM

LABUAN, 27 Sept (Bernama) -- Kementerian Pengangkutan (MOT) belum mencapai sebarang keputusan berhubung cadangan pembinaan Pelabuhan Bersepadu Labuan bagi menggantikan Labuan Liberty Wharf yang telah berusia lebih 50 tahun.

Timbalan Menterinya Datuk Hasbi Habibollah berkata sebarang perbincangan mengenai projek itu hanya boleh dimulakan selepas penilaian dan perancangan utama dimuktamadkan. 

“Ketika ini kementerian tidak boleh memberikan butiran mengenai cadangan Pelabuhan Bersepadu Labuan di Kawasan Perindustrian Rancha-Rancha itu kerana pelan induk pelabuhan Labuan belum disiapkan, Penilaian Kesan Alam Sekitar (EIA) juga belum dilaksanakan dan hala tuju keseluruhan masih tidak pasti,” katanya dalam sidang media selepas lawatan ke Megah Port Management Sdn Bhd di Labuan Liberty Wharf.

Beliau menekankan bahawa kajian kebolehlaksanaan mesti dilaksanakan sebelum sebarang keputusan konkrit dibuat, sambil menyatakan Lembaga Pelabuhan Labuan (LPA) akan memainkan peranan penting dalam proses itu. 

Hasbi berkata MOT juga sedang mempertimbangkan Pelan Pembangunan Labuan 2030 yang memperuntukkan kira-kira 80.9 hektar tanah untuk pelabuhan. 

Bagaimanapun, beliau berkata peralihan untuk LPA menjadi entiti sendiri terpisah daripada Lembaga Pelabuhan Bintulu belum dimuktamadkan.

“Isu tanah persediaan tanah dan ekosistem perlu diselesaikan sebelum perbincangan lanjut mengenai Pelabuhan Bersepadu Labuan dilakukan,” katanya. 

Walaupun ketika ini terdapat kelewatan, Hasbi yakin bahawa sebaik sahaja LPA diiktiraf secara rasmi sebagai entiti berasingan, cadangan Pelabuhan Bersepadu Labuan akan mendapat perhatian sewajarnya bagi perkembangan lanjut. 

Sementara itu, Hasbi turut menekankan peranan penting dimainkan oleh LPA dalam memastikan keselamatan jeti di Labuan Liberty Wharf untuk operasi kapal dan kargo. 

“Langkah keselamatan perlu diambil oleh LPS bagi menjamin jeti itu kekal selamat untuk aktiviti pelabuhan...kali terakhir ia mengalami pengubahsuaian besar ialah sekitar 1980-an,” katanya. 

Hasbi juga berkata usaha menaik taraf Terminal Feri Roll-on Roll-off (Ro-Ro) Labuan menerusi peruntukan RM22 juta seperti yang diumumkan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, akan diteruskan seperti dirancang. 

“Kita sedang menunggu butiran peruntukan itu untuk disahkan dalam Belanjawan 2025 yang akan dibentangkan pada Oktober ini,” katanya.

--BERNAMA

 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan