DUNIA

Bursa Malaysia Ditutup Rendah Susulan Pengambilan Untung

27/09/2024 07:19 PM

Oleh Karina Imran

KUALA LUMPUR, 27 Sept (Bernama) -- Bursa Malaysia sekali lagi ditutup rendah pada Jumaat disebabkan terutamanya aktiviti pengambilan untung dalam kaunter saham wajaran tinggi terpilih di tengah-tengah prestasi bercampur-campur bursa serantau lain, kata seorang penganalisis. 

FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) turun 11.23 mata atau 0.67 peratus untuk ditutup kepada  1,660.09 daripada paras penutup Khamis.

Indeks petunjuk pasaran itu yang dibuka rendah turun 2.73 mata kepada 1,668.59, bergerak antara paras 1,658.49 dan 1,668.59 sepanjang hari dagangan.

Di keseluruhan pasaran, kaunter rugi mengatasi kaunter untung sebanyak 642 berbanding 448 manakala 478 kaunter tidak berubah, 958 tidak diniagakan dan 123 digantung. 

Jumlah dagangan susut kepada 3.02 bilion unit bernilai RM2.68 bilion daripada 3.13 bilion unit bernilai RM2.84 bilion pada Khamis. 

Ketua penyelidikan pelaburan UOB Kay Hian Wealth Advisors Mohd Sedek Jantan berkata para peniaga mengambil pendekatan berhati-hati, memilih menyimpan keuntungan menjelang pengumuman data perbelanjaan penggunaan peribadi (PCE) Amerika Syarikat (AS) lewat malam ini.  

Walaupun pasaran menjangkakan PCE AS naik 0.2 peratus bulan ke bulan, para pelabur masih berhati-hati dengan kemungkinan mengejut yang boleh mengubah dinamik pasaran, katanya kepada Bernama.   

"Di pasaran tempatan, saham perindustrian, komunikasi dan perladangan muncul sebagai peneraju, disokong oleh sentimen positif daripada pakej rangsangan China, pengukuhan ringgit dan kemajuan pembangunan pusat data," katanya.

Naib presiden penyelidikan ekuiti Rakuten Trade Sdn Bhd, Thong Pak Leng berpandangan para pelabur enggan membuat perubahan portfolio yang besar menjelang pembentangan Belanjawan 2025 pada pertengahan Oktober.

Beliau berkata indeks petunjuk pasaran itu kekal dalam fasa penstabilan meskipun berlaku turun dan naik.

Dalam kalangan saham wajaran tinggi Bursa Malaysia, Maybank turun 16 sen kepada RM10.50, Public Bank susut lapan sen kepada RM4.59 dan Kumpulan CIMB berkurangan empat sen kepada RM8.24 manakala IHH Healthcare naik 10 sen kepada RM7.20 dan Tenaga Nasional kekal pada RM14.66.

Lambo Group menerajui kaunter cergas, turun 1.5 sen kepada satu sen manakala Genetec Technology susut 14.5 sen kepada 85 sen dan Capital A menokok tiga sen kepada 94 sen. Zen Tech International dan Sapura Energy tidak berubah, masing-masing pada satu sen dan empat sen.

Di papan indeks, Indeks FBM Emas susut 73.30 mata kepada 12,386.60, Indeks FBM Emas Shariah turun16.43 mata kepada 12,313.04 dan Indeks FBMT 100 berkurangan 70.55 mata kepada 12,088.17.

Indeks FBM 70 merosot 59.78 mata kepada 17,438.48 dan Indeks FBM ACE turun 39.79 mata kepada 5,158.05.

Mengikut sektor, Indeks Perladangan meningkat 8.27 mata kepada 7,193.23, Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian naik 0.45 mata kepada 177.34 dan Indeks Tenaga 0.71 mata mengukuh kepada 856.75.

Jumlah dagangan Pasaran Utama susut kepada 1.51 bilion unit bernilai RM2.43 bilion daripada 1.60 bilion unit bernilai RM2.57 bilion pada Khamis.

Jumlah dagangan waran turun kepada 982.76 juta unit bernilai RM144.74 juta daripada 1.06 bilion unit bernilai RM142.93 juta sebelumnya.

Jumlah dagangan Pasaran ACE meningkat kepada 520.49 juta unit bernilai RM103.48 juta daripada 465.10 juta unit bernilai RM122.71 juta

Kaunter produk dan perkhidmatan pengguna menyumbang 278.68 juta saham yang diniagakan di Pasaran Utama, produk dan perkhidmatan perindustrian (293.79 juta), pembinaan (124.14 juta), teknologi (197.14 juta), SPAC (sifar), perkhidmatan kewangan (99.41 juta), hartanah (188.63 juta), perladangan (28.50 juta), REIT (17.41 juta), dana tertutup (87,800), tenaga (115.56 juta), penjagaan kesihatan (62.46 juta), telekomunikasi dan media (30.76 juta), pengangkutan dan logistik (22.53 juta).), utiliti (55.53 juta) dan amanah perniagaan (32,300 juta).

-- BERNAMA 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan