AM

Labuan Guna Teknik Pertanian Menegak Untuk Perkukuh Sektor Agro Dan Keselamatan Makanan - KPKM

27/09/2024 07:51 PM

LABUAN, 27 Sept (Bernama) -- Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) menggesa Labuan untuk mengadaptasi konsep pertanian menegak sebagai strategi untuk memperkukuh sektor pertanian dan menangani kekurangan bekalan makanan yang sedang berlaku.

Menteri berkenaan Datuk Seri Mohamad Sabu berkata kekurangan tanah di pulau itu untuk pertanian berskala besar menjadikan pertanian menegak sebagai alternatif penting, sambil menekankan keperluan untuk penyelesaian inovatif bagi meningkatkan keselamatan makanan di Labuan.

‘Saya telah mengarahkan Jabatan Pertanian untuk merangka pelan bagi merealisasikan idea ini,” katanya kepada pemberita selepas sesi penglibatan dengan agensi KPKM dan wakil dari sektor pertanian dan perikanan di Taman Pertanian Kilan di sini hari ini.

Beliau berkata Jabatan Pertanian perlu menghantar beberapa bakal Agroprenuer dalam lawatan kajian ke Sungai Buloh, di mana mereka dapat belajar secara langsung daripada pelaksanaan teknik pertanian menegak yang berjaya.

“Lawatan kajian ini akan membolehkan bakal Agroprenuer memahami mekanisme pertanian menegak dan cara ia boleh disesuaikan dengan konteks Labuan,” katanya.

Beliau juga menekankan keperluan untuk penyelidikan yang menyeluruh bagi memastikan kejayaan projek tersebut, sambil menambah bahawa KPKM sedia menyediakan peruntukan kewangan dan bantuan lain untuk memudahkan inisiatif ini.

Pertanian menegak, yang melibatkan penanaman tanaman dalam lapisan bertingkat atau permukaan yang condong secara menegak, menawarkan alternatif yang efisien dari segi ruang berbanding pertanian tradisional, menjadikannya sangat sesuai untuk kawasan yang terhad tanah seperti Labuan, kata Mohamad Sabu.

Dengan memanfaatkan teknologi pertanian inovatif, Labuan dapat menguatkan kapasiti pengeluaran makanan dan mengurangkan kebergantungan kepada bekalan luar.

“Inisiatif ini dilihat sebagai langkah penting ke arah memastikan kelestarian pertanian dan bekalan makanan di pulau tersebut, terutama dalam menghadapi kebimbangan yang semakin meningkat mengenai keselamatan makanan global dan keperluan untuk penyelesaian yang terlokalisasi,” katanya sambil menggalakkan usahawan tempatan untuk merebut peluang yang ditawarkan oleh kaedah pertanian yang sedang berkembang ini.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan