AM

JAS N.Sembilan Ambil Sampel Air Sungai Gemencheh Disyaki Tercemar

27/09/2024 09:01 PM

SEREMBAN, 27 Sept (Bernama) -- Jabatan Alam Sekitar Negeri Sembilan (JASNS) telah mengambil sampel air Sungai Gemencheh di Tampin hari ini yang disyaki tercemar berikutan warna air sungai berubah kehitaman.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Gemencheh Suhaimizan Bizar berkata sampel berkenaan dihantar ke Jabatan Kimia untuk dianalisis sebelum tindakan selanjutnya diambil.

“Minggu lepas sudah ambil, hari ini ambil lagi sekali dan keputusan dijangka diketahui minggu depan. Sebenarnya sejak dua bulan lepas air sungai tersebut sudah berubah warna tapi pulih selepas hujan, kebelakangan ini air nampak hitam semula dan hari ini kita lihat banyak ikan timbul dan mati.

“Kita syak mungkin air dari kilang sawit yang terletak kira-kira dua ke tiga kilometer disalurkan ke sungai. Kilang tersebut sudah lama beroperasi dan pernah ditutup tetapi dibuka semula awal tahun lepas,” katanya kepada Bernama.

Beliau berkata tindakan segera perlu diambil pihak berkaitan untuk mengatasi masalah tersebut kerana sumber air sungai berkenaan turut digunakan petani di kawasan sekitar untuk tanaman sayuran.

Media hari ini melaporkan penduduk terutama petani di sekitar kawasan itu melahirkan kebimbangan berikutan air Sungai Gemenceh berubah kehitaman hingga menjejaskan tanaman mereka.

-- BERNAMA

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan