AM

CelcomDigi Anjur Program Advokasi Masterclass Keselamatan Dalam Talian Dan Anti-Scam

27/09/2024 09:25 PM

KUALA LUMPUR, 27 Sept (Bernama) -- Pengendali rangkaian mudah alih, CelcomDigi Berhad (CelcomDigi) telah menganjurkan dua program advokasi Masterclass Keselamatan Dalam Talian dan Anti-Scam untuk memperkasa pencipta kandungan, pempengaruh media sosial, dan penyampai radio mengenai keselamatan dalam talian.

Ketua Kelestarian CelcomDigi, Philip Ling, dalam kenyataan berkata program ini diadakan susulan lanskap digital yang dipenuhi dengan pelbagai aktiviti penipuan, buli siber, serta maklumat palsu

Beliau berkata pencipta kandungan dan pempengaruh media sosial yang memiliki jumlah pengikut yang besar mempunyai kuasa untuk membentuk pemikiran masyarakat dalam menggunakan internet dengan baik dan selamat.

“Begitu juga dengan penyampai radio, mereka mempunyai keupayaan unik untuk berinteraksi dan mempengaruhi para pendengar setiap hari dan memberikan panduan dan maklumat yang betul mengenai keselamatan dalam talian,” katanya.

Masterclass Keselamatan Dalam Talian dan Anti-Scam menampilkan pakar dalam keselamatan siber, etika digital, psikologi tingkah laku dan keselamatan kanak-kanak dalam talian untuk berkongsi pandangan kepada pencipta kandungan, pempengaruh media sosial dan penyampai radio tentang pelbagai ancaman dan scam dalam talian.

Latihan masterclass yang diadakan turut mengambil contoh kes keselamatan dalam talian yang melibatkan kanak-kanak serta amalan terbaik dalam melindungi mereka di dunia digital.

“Laporan Kaji Selidik Kesedaran Scam Kebangsaan 2024 kami baru-baru ini mendedahkan bahawa walaupun 85 peratus rakyat Malaysia sedar tentang scam dalam talian, hampir 60 peratus pernah mengalami atau mengenali seseorang yang terlibat dalam scam.

“Jadi, melalui masterclass ini, kami bukan sahaja melatih pempengaruh, tetapi kami sedang membina satu suara yang kolektif dan menyeluruh untuk memerangi scam dan ancaman dalam talian. Kami percaya para peserta ini boleh menjadi komuniti advokasi yang dinamik untuk memacu perubahan positif dalam usaha memerangi scam dan meningkatkan keselamatan dalam talian serta membina masyarakat digital yang dipercayai,” katanya.

Antara peserta yang menyertai masterclass adalah pempengaruh terkenal seperti Raj Mahal, Esty Richard, Eizuwan Fulamak, Jane Teoh, Hubert CEO, Abang Lawyer Hafiz Baharuddin, Vikar World, dan Alexey Brock.

Ia turut disertai penyampai radio dari stesen radio utama iaitu Nasional FM, Minnal FM, Ai FM, Asyik FM, BERNAMA Radio, Hitz FM, Mix FM, Era FM, Sinar FM dan BFM.

Masterclass adalah sebahagian daripada inisiatif Creators IRL (In Real Life) yang dilancarkan pada 8 Ogos lepas, hasil kerjasama dengan Ratio:Cause, Meta Platforms Inc. dan Women’s Centre for Change yang diwujudkan bertujuan untuk menangani isu keselamatan dan penipuan dalam talian.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan