AM

Ketua Audit Negara Pertahan Kerusi Ahli ASOSAI Governing Board

27/09/2024 10:55 PM

KUALA LUMPUR, 27 Sept (Bernama) -- Ketua Audit Negara Datuk Wan Suraya Wan Mohd Radzi mempertahankan kerusi sebagai ahli Asian Organization of Supreme Audit Institutions (ASOSAI) Governing Board bagi penggal 2024-2027. 

Jabatan Audit Negara dalam kenyataan memaklumkan Wan Suraya memperoleh jumlah undi tertinggi sebanyak 34 daripada 42 negara ahli ASOSAI yang hadir pada Perhimpunan Agung ASOSAI di New Delhi, India hari ini. 

Ini juga menunjukkan peningkatan dari 26 undi yang diperolehi Malaysia pada 2021 untuk Ketua Audit Negara menjadi ahli ASOSAI Governing Board bagi tempoh 2021-2024.

“Ini merupakan pengiktirafan terhadap keupayaan dan peranan Malaysia dalam komuniti pengauditan sektor awam rantau Asia serta dapat memantapkan lagi pembangunan kapasiti dan kompetensi Juruaudit awam Malaysia di peringkat antarabangsa,” menurut kenyataan itu.

Terdahulu, Wan Suraya menghadiri Mesyuarat ke-60 dan 61 ASOSAI Governing Board, Perhimpunan Agung ASOSAI Ke-16 dan Simposium ASOSAI bermula 22 hingga 27 Sept.

Perhimpunan Agung ASOSAI merupakan perhimpunan 48 Institut Audit Tertinggi daripada seluruh rantau Asia.

Perhimpunan itu diadakan setiap tiga tahun sekali sebagai platform bagi semua Ketua Audit Negara dari Asia yang menganggotai ASOSAI untuk berbincang dan memutuskan perkara dasar sejajar dengan objektif penubuhannya serta mengembangkan potensi pembangunannya.

Jabatan Audit Negara turut membentangkan kertas pada Simposium ASOSAI tahun ini mengenai Digital Audit: Inclusion & Accessibility, merangkumi Projek Pendigitalan Perkhidmatan yang sedang dilaksanakan jabatan itu dengan tumpuan kepada pemerkasaan perkhidmatan audit secara digital dan integrasi data secara bersepadu serta inklusif.

“Penglibatan Jabatan Audit Negara di peringkat antarabangsa adalah selaras dengan nilai teras Malaysia MADANI yang menekankan kemampanan, kesejahteraan, daya cipta, hormat, keyakinan dan ihsan,” menurut kenyataan itu. 

-- BERNAMA

 

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan