JENAYAH & MAHKAMAH

Polis Tahan Empat Lelaki Dipercayai Curi Kabel TM

27/09/2024 11:30 PM

ARAU, 27 Sept (Bernama) -- Polis menahan empat lelaki dipercayai mencuri kabel Telekom Malaysia (TM) selepas kereta dinaiki mereka cuba melanggar anggota bertugas yang menahan kenderaan itu semasa rondaan Op Kabel/Kesan/Pintu/Lejang di persimpangan masuk Taman Jejawi Permai di sini awal pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Arau Superintenden Ahmad Mohsin Md Rodi berkata empat anggota Cawangan D4, Jabatan Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Polis Kontinjen Perlis yang membuat rondaan pada 4.20 pagi mendapati kereta Proton X70 dinaiki suspek berusia lingkungan 20 hingga 34 tahun itu adalah mencurigakan.

Beliau berkata polis menahan kereta itu namun pemandu enggan memberikan kerjasama dan bertindak memandu laju dan cuba melanggar anggota polis terbabit namun sempat dielak sebelum kenderaan suspek merempuh kereta pasukan keselamatan tersebut.

Susulan itu, Ahmad Mohsin berkata anggota polis terpaksa melepaskan lima das tembakan ke arah kereta suspek, yang kesemuanya berasal dari Sungai Petani di Kedah, untuk mempertahankan diri.

“Dalam kejadian ini, tiada sebarang kecederaan dialami... tembakan hanya mengenai cermin hadapan dan sisi kereta namun seorang suspek mengalami kecederaan kecil akibat pergelutan ketika anggota polis melaksanakan tangkapan,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah Arau di sini.

Beliau berkata polis merampas beberapa peralatan dipercayai digunakan untuk mencuri kabel itu selain kabel TM sepanjang anggaran 150 meter tertera tulisan Telekom Malaysia Berhad.

Dua daripada suspek mempunyai rekod lampau berkaitan dadah serta jenayah lain dan kesemua mereka direman empat hari untuk siasatan lanjut manakala kes disiasat mengikut Seksyen 307 dan Seksyen 431A Kanun Keseksaan.

-- BERNAMA

 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan