AM

Malaysia Tunggu Maklum Balas Arab Saudi Berkenaan Kuota Tambahan Haji 2025

27/09/2024 11:56 PM

KOTA BHARU, 27 Sept (Bernama) -- Kerajaan Malaysia sedang menunggu maklum balas daripada Arab Saudi berhubung permohonan tambahan kuota haji bagi tahun 2025, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Dr. Mohd Na'im Mokhtar.

Beliau berkata pihaknya telah mengemukakan rayuan bertulis kepada Menteri Haji dan Umrah Arab Saudi Dr. Tawfiq Fawzan Muhammed Al-Rabiah mengenai perkara tersebut.

"Dalam rayuan tersebut, saya memohon kepada Tawfiq untuk mempertimbangkan pemberian kuota tambahan haji kepada Malaysia bagi tahun 2025.

“Kami telah mengemukakan permohonan ini sejak tahun lepas, sejurus selesai operasi haji 2023, dan berharap Arab Saudi akan membuat keputusan mengenai perkara ini," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Muzakarah Haji Peringkat Kebangsaan Ke-41 Musim Haji 1446H di sini, malam ini.

Mohd Na’im berkata Malaysia masih mengekalkan kuota 31,600 kuota haji untuk jemaah Malaysia.

Berikutan itu, beliau berkata Lembaga Tabung Haji telah memulakan persediaan haji bagi musim 1446H/2025 dengan menganjurkan Majlis Perasmian Muzakarah Haji Peringkat Kebangsaan ke-41 di Kota Bharu, yang berlangsung selama tiga hari bermula hari ini.

Menurutnya program Muzakarah Haji ini amat penting dalam membincangkan secara mendalam isu-isu yang timbul dan yang perlu diberikan keutamaan dalam musim haji yang akan datang.

"Segala pandangan yang dibangkitkan dalam muzakarah ini bukan sahaja penting kepada jemaah haji negara, tetapi juga kepada seluruh umat Islam di Malaysia untuk memahami hikmah, cara pelaksanaan ibadah haji, serta hukum-hakamnya," katanya.

-- BERNAMA

 

 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan