EKONOMI

Bandai Namco Jepun Sasar Kerjasama Dengan Pembangun Permainan Malaysia

28/09/2024 01:01 AM

Daripada Durratul Ain Ahmad Fuad

TOKYO, 27 Sept (Bernama) -- Penerbit permainan video Jepun, Bandai Namco berhasrat untuk bekerjasama dengan pembangun permainan di Malaysia.

Ketua Pegawai Operasi Bandai Namco Studios Malaysia Sdn Bhd Shuhei Banya berkata kumpulan itu akan turut membantu pencipta Malaysia untuk membangunkan karya asli dan harta intelek.

“Kami telah mengadakan beberapa pusingan perbincangan dengan pembangun permainan Malaysia iaitu Passion Republic dan Virtuos Kuala Lumpur, dan kami mempunyai keupayaan dan rangka kerja yang disediakan. Ini akan membantu kami pada masa hadapan apabila kami membuat keputusan untuk bekerjasama.

“Tugasan yang kami kendalikan adalah dinamik dan berlainan, bergantung kepada peringkat pembangunan. Lebih baik sekiranya kita dapat menjalinkan hubungan dengan syarikat ini (Passion Republic dan Virtuos Kuala Lumpur) untuk kita saling membantu,” katanya kepada Bernama.

Bandai Namco Studios Malaysia telah beroperasi selama lapan tahun, dan syarikat itu sedang mempertimbangkan untuk pembangunan permainan atau kandungan yang disesuaikan dengan budaya Malaysia atau elemen tempatan.

“Kumpulan ini bercadang mengeluarkan produk untuk kanak-kanak dan dewasa. Objektif utama kami adalah menghasilkan permainan menarik dan menyeronokkan yang menghubungkan manusia, tidak terlalu tertumpu di wilayah tertentu, tetapi untuk masyarakat di seluruh dunia, dan Malaysia turut tersenarai,” katanya.

Kerjasama Bandai Namco yang terbesar pada masa ini adalah dengan Malaysia Digital Economy Corporation (MDEC), dan kumpulan ini (Bandai Namco) akan menyertai acara LEVEL UP KL 2024 minggu depan.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan