AM

DBKL Perkukuh Kerjasama Dengan Media Untuk Perkasa Suara Warga Kota

28/09/2024 01:18 AM

KUALA LUMPUR, 27 Sept (Bernama) -- Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) malam ini mengulangi komitmennya untuk menjalinkan kerjasama yang kukuh dengan pihak media dan Kelab Akhbar Kebangsaan (NPC) dalam usaha memperkasakan suara pelbagai pihak berkepentingan di ibu kota.

Datuk Bandar Kuala Lumpur Datuk Seri Dr Maimunah Mohd Sharif berkata justeru itu, beliau berharap dapat mengadakan sesi libat urus dengan pihak media untuk menyalurkan maklumat terkini tentang fakta dan angka, pembangunan strategik serta program penglibatan komuniti yang telah memberi kesan secara langsung kepada warga Kuala Lumpur.

“Kami tidak boleh melakukan perkara ini secara bersendirian. Di pihak anda, saya menyeru agar media memainkan peranan utama serta menjadi mata dan telinga Dewan Bandaraya bagi memastikan suara jutaan pihak berkepentingan di Kuala Lumpur didengari,” katanya ketika berucap pada majlis Anugerah Jubli Intan NPC di sini.

Beliau juga berkata imej Kuala Lumpur sebagai bandaraya yang bertenaga dan menarik adalah penting kerana ia merupakan pengenalan pertama Malaysia kepada pelancong antarabangsa.

“Bagi kebanyakan pelancong antarabangsa, Kuala Lumpur adalah pengenalan pertama mereka kepada Malaysia. Kita sedia maklum bahawa tanggapan pertama adalah penting.

“Inilah sebabnya kita perlu memastikan Kuala Lumpur kekal sebagai bandaraya yang bertenaga, berkembang pesat, mengujakan dan hebat.

"DBKL akan terus menjalinkan kerjasama rapat dengan pihak media. Anda sentiasa menjadi rakan kongsi kami,” katanya. 

Maimunah turut mengucapkan tahniah kepada NPC untuk acara malam ini yang merupakan satu pencapaian penting dengan sambutan Jubli Intan sekali gus mencerminkan daya tahan dan kebolehsuaian organisasi itu serta penerima anugerah atas sumbangan mereka dalam bidang kewartawanan. 

Turut hadir Presiden NPC Datuk Ahirudin Attan, Naib Presiden NPC Farrah Naz Karim, Ketua Pegawai Eksekutif Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) Nur-ul Afida Kamaludin dan Ketua Pengarang agensi berita itu, Arul Rajoo Durar Raj.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan