DUNIA

Gaza Menderita Kemiskinan Melampau, Kebuluran Ketika Israel Teruskan Serangan Genosid - Laporan Bank Dunia

28/09/2024 01:25 AM

Oleh Shakir Husain

NEW DELHI, 27 Sept (Bernama) -- Ekonomi Gaza telah runtuh dan penduduknya sedang menghadapi kemiskinan melampau serta kebuluran di tengah-tengah serangan Israel ke atas rakyat Palestin, menurut satu laporan Bank Dunia.

Penemuan laporan itu sangat membimbangkan, menunjukkan hampir 100 peratus penduduk Gaza hidup dalam kemiskinan manakala pengeboman dan sekatan Israel yang berterusan telah menyebabkan hampir dua juta orang berada di ambang kebuluran.

Lima belas peratus daripada penduduk Gaza, atau 350,000 individu, tidak mempunyai akses kepada makanan.

Selain itu, satu pertiga daripada penduduk berada dalam keadaan kecemasan, mengalami kekurangan makanan yang serius dan kadar kematian yang lebih tinggi.

"Sebelas bulan sejak konflik di Timur Tengah bermula, Wilayah Palestin hampir mengalami kejatuhan ekonomi di tengah-tengah sejarah krisis kemanusiaan di Semenanjung Gaza," menurut ringkasan laporan yang diterbitkan di laman sesawang Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) pada Khamis.

"Situasi kemanusiaan diburukkan lagi oleh perpindahan kira-kira 1.9 juta orang, dengan tempat perlindungan penuh sesak dan perkhidmatan sanitasi yang tidak mencukupi. Laporan mengenai keadaan seakan-akan kebuluran, kekurangan zat makanan dan penyakit semakin meningkat, manakala halangan besar terus mengehadkan akses untuk bantuan kemanusiaan, sekali gus menghalang usaha menangani krisis ini," katanya.

Para pemimpin dari seluruh dunia semasa sesi Perhimpunan Agung PBB yang sedang berlangsung di New York telah mengecam Israel atas serangang yang dilancarkan ke atas rakyat Palestin serta mengkritik Amerika Syarikat kerana terus membekalkan senjata kepada rejim Zionis itu.

Peranan AS dalam serangan genosid Israel terhadap penduduk Arab mendapat perhatian lebih ketara sejak Israel baru-baru ini meluaskan pengebomannya ke Lubnan.

Menteri Luar Algeria Ahmed Attaf dalam ucapannya minggu ini berkata Israel cuba menjadikan Lubnan sebagai "Gaza baharu" manakala Setiausaha Agung PBB Antonio Guterres memberi amaran bahawa " Lubnan kini umpama neraka".

"Semua elemen jenayah telah bersatu sekarang selaras dengan pendudukan Israel. Seperti yang mereka lakukan di Gaza, mereka juga sedang melakukan perkara yang sama di Lubnan," kata Attaf.

"Ia adalah jenayah pencerobohan, jenayah terhadap kemanusiaan, jenayah perang, genosid. Dalam erti kata lain, ia adalah cubaan untuk mengubah Lubnan menjadi Gaza baharu," katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan