AM

Program Madani Rakyat Sarawakku Sayang Hangatkan Suasana Di Bandar Raya Miri

28/09/2024 01:50 AM

MIRI, 27 Sept (Bernama) -- Aktiviti Program MADANI Rakyat (PMR) 2024 Sarawakku Sayang di perkarangan sebuah kompleks membeli belah di sini hari ini mulai menghangatkan suasana di bandar raya ini.

Aktiviti Program MADANI Rakyat (PMR) 2024 Sarawakku Sayang di perkarangan sebuah kompleks membeli-belah di sini hari ini telah menghangatkan suasana bandar raya ini.

Bagi pemandu e-panggilan Yong Foo Yung, penganjuran program itu di bandar raya telah meningkatkan kesibukan di kawasan yang terkenal dengan aktiviti petroleum dan gas ini sejak beberapa hari lepas.

“Jalan ke lokasi semakin sibuk, dan sejak pagi tadi, sudah beberapa penumpang meminta saya menghantar mereka ke Boulevard,” katanya kepada Bernama merujuk kepada tapak program di perkarangan sebuah kompleks beli-belah terkenal di sini.

Beberapa pengunjung yang ditemui oleh Bernama berkata program itu bukan sahaja membolehkan mereka melihat pameran daripada pelbagai agensi kerajaan dan swasta, tetapi juga memberi peluang untuk mereka terlibat dalam aktiviti menarik.

Seorang pengunjung, Nurul Nadirah Armandi berkata bagi golongan belia sepertinya, program itu bukan hanya memberi peluang mendapat maklumat tentang kekosongan perjawatan tetapi turut memberikan maklumat mengenai perkhidmatan yang disediakan pelbagai agensi kerajaan.

“Ini pendedahan yang baik kerana selain membuka peluang untuk memohon pekerjaan, program ini menjadi tempat untuk saya menambahkan pengetahuan tentang fungsi-fungsi jabatan dan sebagainya,” katanya.

Program ini dianjurkan oleh Pejabat Perdana Menteri (PMO) melalui Unit Penyelarasan Lonjakan Prestasi (PACU) bertujuan memperkenalkan pelbagai inisiatif yang dilaksanakan oleh Kerajaan demi kesejahteraan rakyat.

Penganjurannya dijalankan dengan kerjasama strategik Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA) sebagai kementerian peneraju, dan Kerajaan Sarawak sebagai tuan rumah.

Kaunter Pembayaran Saman Trafik Polis Diraja Malaysia (PDRM) menjadi antara reruai yang mendapat sambutan hangat di tapak program ini, di mana orang ramai beratur seawal jam 9.00 pagi tadi.

Bagi Syafiq Ahmad, beliau tidak mahu melepaskan peluang untuk memanfaatkan tawaran diskaun 50 peratus ke atas saman trafik di kaunter tersebut.

“Proses pembayaran juga cepat dan ini amat memudahkan orang ramai untuk menjelaskan apa-apa saman trafik yang tertunggak,” katanya.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dijadualkan akan merasmikan program ini petang esok, dalam majlis yang turut akan dihadiri oleh Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof dan Premier Sarawak Tan Sri Abang Johari Tun Openg.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan