JENAYAH & MAHKAMAH

Geng 'Wira Tempang' Menyamar Polis Ketika Menyamun Tumpas

28/09/2024 02:23 AM

SHAH ALAM, 27 Sept (Bernama) -- Polis berjaya menumpaskan kumpulan samun diketuai individu dikenali sebagai 'Wira Tempang' selepas menahan tujuh lelaki tempatan yang dipercayai aktif melakukan jenayah berkenaan di sini. 

Ketua Polis Daerah Shah Alam ACP Mohd Iqbal Ibrahim berkata sebelum itu pihaknya menerima laporan daripada seorang peniaga warga asing yang mendakwa disamun sekumpulan lelaki yang didakwa menyamar sebagai polis pada malam 19 Sept. 

Beliau berkata ketika kejadian mangsa yang berseorangan dihampiri kumpulan lelaki tersebut sebelum dipukul dan merampas wang tunai berjumlah RM7,000 serta dua telefon bimbit miliknya. 

Bertindak atas maklumat awam dan hasil risikan, polis berjaya menahan lima suspek berusia antara 39 hingga 54 tahun pada kira-kira 9 malam, 23 Sept lepas di sekitar Shah Alam. 

"Seorang daripada suspek dikenali sebagai ‘Wira Tempang’ iaitu lelaki berumur 46 tahun, bekerja sebagai penarik kereta dan mempunyai satu rekod jenayah. 

"Semakan terhadap empat lagi tangkapan lain turut mendapati seorang daripada mereka mempunyai satu rekod jenayah lampau," katanya dalam kenyataan hari ini. 

Mohd Iqbal berkata dua lagi suspek berumur 23 dan 24 tahun serta mempunyai rekod jenayah lampau ditahan di Pelabuhan Klang pada petang tadi.

Beliau berkata lima suspek direman tujuh hari hingga 30 Sept ini bagi membantu siasatan manakala dua lagi suspek akan direman esok.

“Kes disiasat di bawah Seksyen 395 Kanun Keseksaan,” katanya.

-- BERNAMA 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan