EKONOMI

Public Gold Rancang Sedia 200 ATM Emas Menjelang Akhir 2025

29/09/2024 02:54 PM

Oleh Erma Idayu Mohd Yusop

GEORGE TOWN, 29 Sept (Bernama) -- Syarikat logam berharga, Public Gold Group merancang untuk menyediakan 200 Mesin Teler Automatik (ATM) emas menjelang akhir 2025 bagi memudahkan orang ramai mendapatkan emas.

Pengurus Bahagian ATM Emas Public Gold, Denise Tang berkata ketika ini terdapat 100 mesin ATM emas atau dikenali sebagai “Public Gold ATM” di seluruh negara, justeru, rancangan itu sejajar dengan peningkatan permintaan produk emas fizikal, sejak beberapa tahun kebelakangan ini.

Beliau berkata pihaknya juga merancang untuk menyediakan 50 ATM emas di Indonesia menjelang tahun hadapan dengan menawarkan pelbagai reka bentuk popular tempatan.

Perolehan daripada jualan jongkong emas di 100 ATM emas itu mencecah sekitar RM10 juta sejak Januari hingga sekarang, katanya kepada Bernama dalam temubual di Wisma Public Gold, Bayan Lepas di sini.

“Ketika ini 100 ATM emas ditempatkan di lokasi strategik tumpuan orang ramai seperti pusat membeli-belah dan lapangan terbang. Kami mendapat permintaan yang baik daripada pelangan yang mahu membeli emas menerusi ATM.

“Orang ramai boleh membeli emas pada bila-bila masa kerana ATM itu beroperasi 24 jam sehari dan ia juga dilengkapi dengan sistem keselamatan terbaik serta tinggi, jadi pengguna tidak perlu bimbang mengenainya,” katanya.

Public Gold ATM menawarkan jongkong emas berketulenan 999.9 dengan berat emas antara 0.25 gram sehingga lima gram dan kemudahan itu diiktiraf oleh Malaysia Book of Records (MBOR) sebagai ATM pertama yang mengeluarkan produk emas fizikal di negara ini.

Beliau berkata ATM emas itu disediakan untuk menggalakkan rakyat Malaysia menyimpan emas sebagai simpanan jangka masa panjang selain jongkong emas Public Gold juga boleh dijadikan sebagai hadiah atau cenderamata.

Terdapat pelbagai reka bentuk jongkong emas yang menarik, ditawarkan iaitu mengikut tema tempatan dan popular seperti koleksi Disney, Marvel Studios, Warner Bros, Hello Kitty, Garfield, Ejen Ali dan Monsta.

“Sekarang ini kita ada 500 reka bentuk jongkong emas seperti musim perayaan, batik, durian musang king, roti canai, teh tarik dan pelbagai lagi, malah kami juga merancang untuk menambah pelbagai koleksi untuk pilihan pengguna.

“Sebenarnya kami sangat terkejut dengan permintaan dan pembelian pengguna di ATM emas Public Gold kerana sangat baik contohnya di lapangan terbang, ada kalangan pelancong asing yang membeli jongkong emas sebagai cenderahati dengan pelbagai reka bentuk terutama yang menarik perhatian mereka,” katanya.

Denise berkata ATM emas kini disediakan di Lapangan Terbang Antarabangsa Senai, Johor dan Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah, Subang serta Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur.

Public Gold merancang untuk menempatkan ATM emas di semua lapangan terbang di seluruh negara, katanya.

Jongkong emas yang ditawarkan di ATM emas itu adalah mengikut harga pasaran serta denominasi iaitu daripada RM130 hingga RM2,000 dan pengguna juga boleh menjual semula di mana-mana cawangan Public Gold di seluruh Malaysia.

Beliau berkata permintaan bagi jongkong emas juga semakin meningkat kerana harga jualan lebih baik berbanding barang kemas yang harganya akan menurun sekitar 20 hingga 30 peratus jika dijual semula.

Public Gold yang ditubuhkan sejak 2008 menyasarkan sebanyak 10 juta pelanggan menjelang 2030 dan ketika ini mempunyai sekitar 1.3 juta pelanggan di Malaysia, Singapura, Indonesia dan Brunei.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan