AM

Kaji Selidik Kesan AI Terhadap Tenaga Kerja Negara Libat 10 Sektor Strategik - Sim

29/09/2024 09:47 PM

KUALA LUMPUR, Sept 29 (Bernama) -- Laporan kaji selidik mengenai kesan kecerdasan buatan (AI) terhadap pasaran tenaga kerja negara akan melibatkan 10 sektor strategik, kata Menteri Sumber Manusia Steven Sim.

Beliau berkata antara kandungan laporan telah disiapkan oleh kementeriannya itu  ialah eolusi peranan dan kemahiran sebagai panduan untuk tempoh tiga hingga lima tahun  akan datang.

"Kami berharap untuk menerbitkan laporan ini dalam masa terdekat dan bersedia untuk menggunakan kajian ini bagi menilai kesan AI terhadap penambahbaikan sektor-sektor tersebut," katanya dalam ucapannya di Persidangan dan Pameran Modal Insan Kebangsaan (NHCCE) 2024 di Pusat Perdagangan dan Pameran Antarabangsa Malaysia (MITEC) di sini hari ini.

Sektor terlibat dalam laporan itu termasuk teknologi maklumat dan komunikasi, perkhidmatan perniagaan global, aeroangkasa, pembuatan dan perkhidmatan makanan, perdagangan borong dan runcit, elektronik dan kejuruteraan serta pembuatan farmaseutikal.

Laporan itu juga merangkumi peranti perubatan, tenaga, bahan kimia, kuasa, industri marin dan luar pesisir, pelancongan, hotel dan penginapan.

Pada 6 Sept lepas, Sim melaporkan bahawa kajian mengenai kesan AI, digitalisasi dan ekonomi hijau terhadap pasaran buruh dan tenaga kerja di negara ini akan dimuktamadkan pada penghujung bulan ini.

Mengulas mengenai NHCCE 2024, beliau berkata acara itu akan menjadi forum untuk mencambah pandangan,kepakaran dan strategi yang akan diperhalusi.

NHCCE 2024 dijangka menjadi platform perbincangan terbesar di Asia Tenggara, yang memfokuskan kepada peranan AI di tempat kerja serta implikasinya terhadap masa depan pekerjaan dan tenaga kerja.

Anjuran Perbadanan Pembangunan Sumber Manusia (HRD Corp), NHCCE 2024 yangakan berlangsung esok hingga Rabu ini  di MITEC akan meneroka cara untuk menangani cabaran dan merebut peluang yang dibawa oleh AI kepada tenaga kerja dan bakat di rantau ini.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan