AM

UMS, UiTM Sabah Diarah Kenal Pasti Segera Pelajar Kurang Berkemampuan

29/09/2024 10:49 PM

KOTA KINABALU, 29 Sept (Bernama) --Universiti Malaysia Sabah (UMS) dan Universiti Teknologi MARA (UiTM) Sabah diminta mengenal pasti pelajar kurang berkemampuan di institusi pendidikan tersebut untuk diberikan bantuan sewajarnya.

Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Mustapha Sakmud berkata Kementerian Pendidikan Tinggi komited memastikan kebajikan pelajar sentiasa terjaga sepanjang tempoh pengajian dan sedia membantu kerana prinsip ‘tiada pelajar yang harus terpinggir’.

“Saya telah menerima banyak mesej mengenai cabaran yang dihadapi oleh sebahagian daripada pelajar baharu atau yang sedang berdaftar di institusi pengajian tinggi awam (IPTA) di seluruh negara dan saya mengambil maklum perkara ini.

"Salah satu kes yang benar-benar menyentuh hati saya ialah kisah adik Rafida Zaiddin dari Sandakan yang mendaftar di UMS Kota Kinabalu dengan membawa karung guni sebagai bagasi.

“Hal ini menunjukkan kecekalan dan kuatnya semangat adik Rafida untuk menyambung pengajian walaupun dalam keadaan serba kekurangan," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Mustapha turut mengingatkan pelajar yang bakal mendaftar di IPTA atau institut pengajian tinggi swasta (IPTS) agar tidak segan atau ragu untuk menghubungi Bahagian Hal Ehwal Pelajar (HEP) di universiti masing-masing jika memerlukan sebarang bantuan.  

"Pelbagai bantuan telah disediakan kementerian mengikut keperluan pelajar. Apa yang perlu dilakukan hanyalah mengenal pasti dan memohon, pasti ada penyelesaiannya.

"Teruskan semangat menuntut ilmu kerana setiap usaha dan pergorbanan itu akan membuahkan hasil ," katanya.

--BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan