EKONOMI

Solarvest Raih Kontrak EPCC Bernilai RM142 Juta

22/11/2024 08:31 PM

KUALA LUMPUR, 22 Nov (Bernama) -- Anak syarikat milik penuh Solarvest Holdings Bhd, Atlantic Blue Sdn Bhd menerima surat pelantikan bersyarat untuk kontrak melibatkan kejuruteraan, perolehan, pembinaan dan pentauliahan (EPCC) daripada SM01 Sdn Bhd bernilai RM142 juta.

Dalam makluman kepada Bursa Malaysia hari ini, syarikat itu berkata projek tersebut melibatkan pembinaan kemudahan penjanaan tenaga solar fotovolta dengan kapasiti 29.99 megawatt arus ulang-alik di Kedah. 

Solarvest akan melanggan 33 peratus kepentingan dalam SM01, yang telah ditubuhkan sebagai syarikat tujuan khas untuk menjalankan projek di bawah Program Tenaga Hijau Korporat. Pemegang saham lain ialah Shizen Malaysia Sdn Bhd (49 peratus) dan HSS Engineering Sdn Bhd (18 peratus).

Solarvest berkata pemberian projek itu adalah bersyarat setelah memenuhi syarat-syarat tertentu terdahulu, termasuk kelulusan Suruhanjaya Tenaga dan/atau pembeli tunggal (seperti yang ditakrifkan di bawah Akta Bekalan Elektrik 1990) dan kejayaan pendaftaran SM01 sebagai peserta dalam Perjanjian Penghantaran Dipertingkat Baharu (NEDA) Baharu untuk tujuan projek pada atau selepas 30 Jan 2025.

“Kontrak EPCC untuk projek itu dijangka menyumbang secara positif kepada aset bersih dan pendapatan sesaham Solarvest dan kumpulan syarikatnya bagi tahun kewangan berakhir 31 Mac 2025 dan sehingga projek itu siap,” katanya.

-- BERNAMA

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan