AM

Perpaduan Kaum, Kepelbagaian Budaya Bukan Suatu Yang Kekal Tanpa Usaha - Aaron

23/11/2024 06:21 PM

KUALA LUMPUR, 23 Nov (Bernama) -- Perpaduan kaum dan kepelbagaian budaya di negara ini perlu terus diperkukuh oleh semua pihak dan tidak boleh mengambilnya sebagai sesuatu yang kekal tanpa usaha, kata Menteri Perpaduan Negara Datuk Aaron Ago Dagang.

Beliau berkata untuk tahun ini, kementerian telah melaksanakan lebih 300 program berimpak tinggi bagi memperkukuh perpaduan kaum.

“Pada hari ini, kita boleh berbangga bahawa Malaysia adalah antara negara yang berjaya mengekalkan keamanan walaupun mempunyai kepelbagaian kaum. Bagaimanapun, cabaran dunia moden termasuk penggunaan media sosial dan polarisasi masyarakat, memerlukan kita untuk terus waspada.

“Oleh itu, adalah menjadi tanggungjawab kita semua untuk memastikan warisan ini terus terpelihara kini dan untuk masa depan,” katanya berucap merasmikan Festival Anak Sarawak di sini hari ini, yang turut dihadiri Ketua Setiausaha Kementerian Perpaduan Negara Datuk Seri Hasnol Zam Zam Ahmad dan Ketua Pengarah Jabatan Muzium Malaysia Datuk Kamarul Baharin A Kasim.

Menyentuh mengenai festival berkenaan, Aaron berkata ia bukan sahaja menjadi medan untuk meraikan keindahan warisan budaya tetapi juga ruang memperkukuh hubungan antara komuniti dan menyemai nilai murni yang menjadi tunjang perpaduan.

“Festival Anak Sarawak hari ini adalah manifestasi bagaimana budaya boleh menjadi alat penyatuan. Kekayaan etnik di Sarawak seperti Iban, Bidayuh, Orang Ulu, Melayu Sarawak, Melanau, Cina, dan lain-lain telah membuktikan dan mencerminkan satu keunikan luar biasa.

“Melalui festival ini, kita bukan sahaja meraikan identiti budaya kita, tetapi juga mengukuhkan ikatan sebagai satu keluarga besar rakyat Malaysia,” katanya.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan