AM

Pahang Berjaya Peroleh Kutipan Hasil RM1.144 Bilion

23/11/2024 11:43 PM

KUANTAN, 23 Nov (Bernama) -- Kerajaan Pahang berjaya mencatat kutipan hasil sebanyak RM1.144 bilion melebihi sasaran yang ditetapkan RM1.137 bilion untuk tahun ini.

Perkara itu diumumkan Menteri Besar Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail selepas menghadiri Majlis Perasmian Penutupan Karnival Tanah Pahang - 'Syukuri Nikmat, Laksana Tanggungjawab, Jelaskan Cukai Tanah Anda' Peringkat Negeri Pahang Tahun 2024 di Dewan Titiwangsa, Universiti Teknologi MARA (UiTM) Kampus Raub, dekat sini hari ini.

"Sudah pastinya berita gembira ini merupakan hasil kerjasama semua penjawat awam di negeri ini yang telah berusaha untuk merealisasikan sasaran tersebut. 

"Syabas, tahniah dan terima kasih saya ucapkan kepada semua," katanya menerusi catatan di Facebook.

Sebelum ini, media melaporkan kerajaan Pahang mencipta hatrik jumlah kutipan hasil melebihi RM1 bilion selama tiga tahun berturut-turut sejak 2022 sekali gus membuktikan prestasi kepimpinan kerajaan negeri ini sangat cemerlang untuk setanding dengan negeri maju lain seperti Selangor dan Johor.

Mengenai karnival berkenaan, beliau berkata ia secara langsung dapat mendidik rakyat negeri ini untuk melaksanakan tanggungjawab membayar cukai tanah sebelum 31 Mei setiap tahun.

“Saya percaya apa yang kerajaan negeri laksanakan ini akan menerima manfaat kepada negeri dan rakyat terutamanya dalam soal kebajikan yang sentiasa diberi keutamaan,” katanya.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan