AM

Payung Pantai Lebih Cantik Dan Tersusun Di Telok Kemang Bermula 16 Disember

26/11/2024 12:54 PM

SEREMBAN, 26 Nov (Bernama) -- Majlis Perbandaran Port Dickson (MPPD) akan menyediakan kawasan khas untuk penempatan payung pantai yang lebih cantik dan tersusun melibatkan sebahagian kecil Pantai 2 Telok Kemang dan Pantai 3 Telok Kemang pada 16 Dis ini.

Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Pembangunan Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Pengangkutan negeri J. Arul Kumar berkata MPPD menyediakan 33 plot perniagaan payung pantai baharu itu menggantikan khemah biru yang mencemarkan pandangan di kawasan Pantai Telok Kemang.

Arul Kumar berkata setiap plot berukuran 12 meter x 6 meter (40 kaki x 20 kaki) ditetapkan bagi peniaga menjalankan perniagaan sewaan payung pantai dan kerja naik taraf dan penyediaan plot itu telah dilakukan pada 18 Nov lepas.

"MPPD akan menyediakan lapan payung pantai, dua kerusi dan sebuah meja yang bersesuaian bagi setiap plot selain menyediakan peruntukan secara one-off meliputi kos payung pantai, kerusi, meja, naik taraf plot, naik taraf pusat kawalan dan papan tanda berkaitan.

"Memandangkan jumlah peniaga semasa melebihi plot yang disediakan, kaedah undian peniaga yang layak akan dibuat oleh MPPD dalam tempoh terdekat," katanya ketika menjawab soalan Choo Ken Hwa (PH-Lukut) mengenai isu sewaan khemah biru di Telok Kemang, pada persidangan DUN Negeri Sembilan di sini hari ini.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Nilai itu menjelaskan MPPD akan menaik taraf pusat kawalan di Pantai 3 Telok Kemang bagi menempatkan anggota secara statik terutama pada hujung minggu dan cuti umum, dan memasang papan tanda nombor hotline jabatan penguat kuasa bagi memudahkan orang ramai membuat aduan sebarang salah laku penggunaan pantai awam.

Beliau berkata kaedah baharu ini diharap dapat menyelesaikan isu yang berbangkit selain membawa kesejahteraan melalui inisiatif secara menang-menang.

Media sebelum ini melaporkan MPPD telah memberikan notis pemberhentian perniagaan sewaan khemah bagi ketiga-tiga pantai, iaitu Pantai Telok Kemang, Pantai Cermin dan Pantai Tanjung Biru berkuat kuasa 18 Nov.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan