EKONOMI

Winstar Capital Bakal Disenarai Pasaran Ace Sasar Kumpul Rm19.79 Juta Daripada Ipo

26/11/2024 04:05 PM

KUALA LUMPUR, 26 Nov (Bernama) -- Pengeluar produk aluminium, Winstar Capital Bhd (Winstar Capital) yang bakal disenaraikan di Pasaran Ace Bursa Malaysia pada 19 Dis, 2024 menyasarkan untuk mengumpul RM19.79 juta melalui tawaran awam permulaan (IPO). 

Winstar Capital dalam satu kenyataan berkata IPO berharga 35 sen sesaham dan melibatkan terbitan 73.95 juta saham, terdiri daripada 56.55 juta saham baharu dan 17.40 juta saham sedia ada yang ditawarkan untuk jualan, mewakili 25.5 peratus daripada modal terbitan syarikat yang diperbesarkan sebanyak 290 juta saham.

Katanya, daripada hasil itu, RM9.55 juta (48.25 peratus) akan digunakan untuk membeli mesin dan peralatan baharu untuk tekan ekstrusi aluminium, RM6.24 juta (31.54 peratus) diperuntukkan untuk keperluan modal kerja dan RM4.0 juta (20.21 peratus) disediakan untuk perbelanjaan penyenaraian.

"Daripada 56.55 juta saham baharu, 14.50 juta akan tersedia untuk permohonan oleh orang awam Malaysia manakala 15.95 juta dikhaskan untuk pengarah, pekerja dan penyumbang yang layak kepada kejayaan kumpulan.

"Sementara baki 26.10 juta saham baharu akan ditawarkan melalui tawaran saham persendirian kepada pelabur terpilih," kata syarikat tersebut.

Selepas penyenaraian, Winstar Capital dijangka mencapai permodalan pasaran sebanyak RM101.50 juta berdasarkan modal saham yang diperbesar.

Sementara itu, Pengarah Eksekutif dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Vincent Chua Boon Hong berkata syarikat merancang untuk menggunakan sebahagian daripada hasil IPO untuk memperoleh empat barisan ekstrusi aluminium tambahan dengan kapasiti gabungan sebanyak 8,580 tan setahun yang akan dipasang di kilangnya di Ijok, Selangor.

Beliau berkata, barisan baharu tersebut dijangka meningkatkan kapasiti pengeluaran keseluruhan syarikat daripada 6,705 tan kepada 15,285 tan setahun.

"Dua barisan pertama dijangka dipasang menjelang suku kedua 2025 manakala dua barisan lagi dijadualkan untuk dipasang menjelang suku kedua 2026," kata Chua semasa pelancaran prospektus syarikat hari ini.

Chua berkata Winstar Capital menceburi sektor tenaga boleh baharu pada 2023 dengan menawarkan perkhidmatan pemasangan sistem solar panel fotovoltaik (PV) melalui anak syarikatnya, Winstar Solar Sdn Bhd dan mula menghasilkan struktur pemasangan solar PV aluminium pada awal 2024.

"Pengembangan secara mendatar ini meletakkan kami dalam kedudukan untuk membekalkan struktur pemasangan PV dan menyediakan perkhidmatan pemasangan kepada pemain kejuruteraan, perolehan, pembinaan dan pengoperasian (EPCC) di Malaysia," kata Chua.

Beliau berkata kepelbagaian perniagaan ini bertujuan untuk menjadikan syarikat sebagai pembekal utama dalam industri tenaga solar sambil melengkapi perniagaan pembuatan aluminiumnya.

Permohonan untuk terbitan awam dibuka mulai hari ini sehingga 3 Dis 2024, 5 petang.

TA Securities Holdings Bhd ialah penasihat utama, penaja, penaja jamin tunggal dan ejen penempatan tunggal untuk IPO.

-- BERNAMA 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan