EKONOMI

TM Penerima Manfaat Kepesatan Pasaran IT, 5G Kedua

27/11/2024 01:18 PM

KUALA LUMPUR, 27 Nov (Bernama) -- Public Investment Bank Bhd (PIVB) menyifatkan Telekom Malaysia Bhd (TM) sebagai antara penerima manfaat daripada kepesatan teknologi maklumat (IT) susulan jangkaan peningkatan permintaan syarikat-syarikat awan dan internet selain jaringan kabel dasar laut global.

Dalam nota penyelidikannya hari ini, bank pelaburan itu berkata ia juga menjangkakan lebih banyak infrastruktur baharu (seperti pusat data, pusat pertukaran internet, stesen daratan kabel dan kabel gentian optik) dibangunkan di Malaysia bagi menampung keperluan pengembangan IT berkenaan di masa depan.

“Kami tidak mengambil kira sebarang sumbangan pendapatan daripada kerjasamanya dengan Singapore Telecommunications untuk mewujudkan pusat data baharu di Johor kerana menjangkakan projek ini dimasukkan selepas tahun kewangan 2026 (FY2026). 

“Walaupun pelantikan pengendali rangkaian 5G kedua telah diumumkan, kami percaya masih ada peranan yang perlu dimainkan oleh TM dalam menyokong ekosistem 5G (pajakan gentian optiknya). Oleh itu, ia berkemungkinan turut menerima manfaat daripada pelan pelancaran pengendali rangkaian kedua 5G," katanya. 

TM juga kekal sebagai pilihan utama PIVB dalam ruang telekomunikasi berikutan kedudukannya sebagai penyedia infrastruktur rangkaian utama negara. 

Berikutan itu, PIVB mengekalkan saranan “outperform” bagi TM dengan harga sasaran (TP) kekal pada RM8.80. 

Sementara itu, CIMB Securities Sdn Bhd juga mengulangi saranan “beli” dengan TP tidak berubah pada RM7.25 dan menjangkakan menjangkakan pendapatan teras sesaham (EPS) tahun kewangan 2024 meningkat tujuh peratus tahun ke tahun, diterajui oleh kos lebih rendah dan perbelanjaan faedah bersih. 

Pemangkin penarafan semula utama itu termasuk penciptaan nilai daripada pengembangan perniagaan pusat data manakala risiko penurunan termasuk persaingan jalur lebar yang lebih sengit dan pulangan pelaburan lebih rendah daripada jangkaan melibatkan pusat data.

MIDF Amanah Investment Bank Bhd pula mengekalkan saranan “neutral” terhadap TM dengan TP disemak semula sebanyak RM6.78. 

Bank pelaburan itu berkata ia menjangkakan beberapa tekanan bagi TM untuk meningkatkan pendapatan, terutama bagi unifi dan TM Global. 

Namun, katanya, susulan pengurusan kos yang ketat, keuntungan sebelum cukai telah mencatat peningkatan angka dua digit.

“Sentimen optimis itu bagaimanapun dikekang oleh penormalan bayaran cukai dalam ketiadaan kredit cukai seperti yang dilihat pada tahun kewangan 2023.

"Ini membawa kepada tekanan penurunan pendapatan dan kami menjangkakan aliran itu berterusan dalam suku keempat tahun kewangan 2024,” katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan