BERITA TERGEMPAR | Malaysia conveys deepest appreciation, welcomes flood aid from Pakistan in honour of friendship between both countries - PM Anwar | |
KOTA KINABALU, 27 Nov (Bernama) -- Pesara kerajaan Sabah akan menerima bonus sebanyak RM1,000 dan dibayar sebelum Aidilfitri tahun depan, kata Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor.
Mengumumkan perkara itu, beliau berkata kerajaan negeri mengambil keputusan berkenaan selepas mendengar pemintaan daripada pesara selain menghargai jasa serta khidmat bakti mereka selama ini kepada negeri Sabah.
“Dalam pembentangan belanjawan (negeri) yang lepas, hanya penjawat awam yang mendapat bonus. Saya rasa tidak adil untuk tidak memberi bonus kepada pesara kerajaan negeri yang telah berkhidmat bakti kepada kerajaan negeri selama ini,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Mesyuarat Agung Tahunan ke-47 Koperasi Pekerja-Pekerja Kerajaan Sabah Berhad (KOPEKS) di sini hari ini.
Menteri Kewangan negeri Datuk Seri Masidi Manjun ketika membentangkan Belanjawan Sabah 2025 pada 15 Nov mengumumkan bantuan khas kewangan atau bonus sebulan gaji dengan bayaran minimum RM3,000 kepada semua penjawat awam Sabah.
Sementara itu, Hajiji mahu KOPEKS terus merancang perniagaan baharu atau mempelbagaikan lagi perniagaan koperasi khususnya dalam era mencabar masa kini serta memastikan pengurusan yang cekap, komited dan berintegriti.
Beliau berkata pelan strategi perniagaan dirancang KOPEKS bagi 2024-2026 meliputi bidang perniagaan, pelaburan dan pembangunan perniagaan termasuk membangunkan dua bidang tanah di Menggatal dan Lahad Datu untuk perumahan yang boleh dibeli oleh ahli koperasi itu serta orang ramai.
Hajiji berkata KOPEKS yang kini sudah mencapai usia 61 tahun dan sebagai koperasi tertua di negeri ini perlu terus kekal relevan dan menjadi pilihan kepada penjawat awam, malah pernah mencapai hingga 20,000 ahli dalam era akhir 70-an dan 80-an.
“Ini merupakan sejarah besar KOPEKS, walaupun bilangan ahli aktif ketika itu hanya 5,898 orang, saya percaya ia akan menjadi sumber kekuatan kepada KOPEKS,” katanya yang turut melahirkan rasa gembira kerana hampir 90 peratus ahli menikmati pelbagai kemudahan disediakan oleh koperasi berkenaan.
Beliau berkata KOPEKS turut melaksanakan program lain seperti pembiayaan kredit, pembiayaan menunaikan umrah, program pelancongan anggota, tabung khairat bagi ahli yang meninggal dunia, insentif pendidikan, sumbangan kepada asnaf dan anak yatim.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial