BERITA TERGEMPAR   Malaysia conveys deepest appreciation, welcomes flood aid from Pakistan in honour of friendship between both countries - PM Anwar | 
 AM

Kerajaan Terus Tingkat Kualiti Perkhidmatan, Kemudahan Kesihatan Di Sabah

27/11/2024 02:55 PM

KOTA KINABALU, 27 Nov (Bernama) -- Kerajaan Persekutuan dengan kerjasama kerajaan negeri Sabah akan terus berusaha meningkatkan kualiti perkhidmatan hospital serta klinik kesihatan untuk kesejahteraan rakyat, kata Menteri Pembangunan Masyarakat dan Kesejahteraan Rakyat Sabah Datuk James Ratib.

Beliau berkata usaha itu dilaksanakan melalui peruntukan kewangan berterusan daripada Kerajaan Persekutuan sama ada untuk membina baharu, menaik taraf atau menambah kemudahan kesihatan seperti klinik kesihatan dan hospital di seluruh Sabah.

“Sebanyak 25 klinik kesihatan di negeri ini terlibat dalam pembinaan baharu dengan kos RM18.8 juta dan dijangka siap bulan ini. Sebanyak 33 klinik kesihatan pula terlibat dengan kerja naik taraf sistem pendawaian, dan telah siap sepenuhnya dengan kos kira-kira RM2.7 juta.

“Pada tahun ini pula, RM10 juta diperuntukkan bagi menaik taraf bangunan di 14 klinik kesihatan untuk keselesaan semua pihak,” katanya kepada Bernama.

James berkata kerajaan juga telah menyegerakan pembinaan semula klinik kesihatan di Kampung Tangkarason di Paitan, Beluran selepas musnah terbakar awal tahun ini, dan kos pembinaannya mencecah hampir RM1 juta.

“Klinik Kesihatan Tangkarason ketika ini beroperasi di dewan kampung itu sejak 19 Feb, dan status kemajuan pembinaan bangunan berkenaan mencapai 88 peratus dan dijangka siap 30 Nov ini. Peralatan perubatan dan bukan perubatan juga dibekalkan dengan anggaran kos RM450,000.

“Kuarters berkembar bagi menempatkan staf klinik juga akan dibina tahun depan dengan anggaran kos RM500,000,” katanya.

Sementara itu James berkata melalui Agenda Nasional Malaysia Sihat (ANMS), kerajaan komited untuk menjadikan penduduk Malaysia sihat sejahtera melalui pembudayaan gaya hidup sihat, dan tidak terkecuali di Sabah.

“Bagi hal itu, kerajaan menyediakan peruntukan menaik taraf dan pembaikan Hub Kesihatan ANMS 2.0 bernilai RM1.1 juta di Sabah tahun ini,” katanya.

Beliau berkata kerajaan juga komited untuk meningkatkan taraf kesihatan penduduk di luar bandar melalui klinik pergigian bergerak serta kempen menggalakkan amalan pencegahan kerosakan gigi sebagai rutin kehidupan.

“Prihatin akan perkara itu, perolehan kenderaan serta peralatan empat pasukan pergigian bergerak di Sabah dibuat tahun ini, membabitkan peruntukan RM1.8 juta,” katanya.

Sementara itu James berkata RM208 juta diperlukan untuk penggantian, penambahan serta perolehan aset perubatan di 24 hospital dan klinik kesihatan kerajaan termasuk 50 unit ambulans pacuan empat roda, 120 unit van ambulans serta empat bot ambulans khususnya bagi klinik kesihatan di Karakit (Pulau Banggi), Jambongan (Beluran), Pulau Nunuyan (Sandakan) dan Sungai Tamang (Pulau Sebatik).

“Klinik kesihatan di Sabah memerlukan penggantian dan pertambahan aset perubatan yang kritikal iaitu 135 mesin ultrabunyi, 115 mesin defibrilator jantung, 15 unit kamera fundus untuk setiap daerah, keperluan penggantian kerusi menunggu pesakit termasuk 300 katil kecemasan bagi 150 klinik kesihatan,” katanya.

Pada masa sama, James berkata kerjasama sektor swasta dan korporat dengan kerajaan dalam meningkatkan perkhidmatan penjagaan kesihatan di Sabah adalah penting, serta perlu diperkukuh bagi mengoptimumkan sumber yang ada.

“Ini dapat meningkatkan akses kepada perkhidmatan kesihatan, sekali gus memastikan perkhidmatan lebih berkesan serta berkualiti. Misalnya semasa pandemik COVID-19, Kementerian Kesihatan (KKM) telah bekerjasama dengan hospital, klinik dan makmal swasta untuk menghadapi peningkatan kes di Sabah.

“Kerjasama ini termasuk penyumberan luar perkhidmatan perubatan khususnya pembedahan atau prosedur untuk pesakit bukan COVID-19 yang tertangguh. Inisiatif ini melibatkan 23 hospital kerajaan dan 31 hospital swasta, dengan peruntukan RM49 juta bagi 3,764 pembedahan atau prosedur dalam 19 disiplin klinikal,” katanya lagi.

Sementara itu Pengerusi Persatuan Jalinan Kasih Harapan Rakyat Sabah Sammie Liew berkata pihaknya banyak bekerjasama dengan pejabat klinik kesihatan dan hospital kerajaan dalam membantu promosi atau advokasi berkaitan penjagaan kesihatan untuk penduduk di luar bandar.

Beliau berkata KKM melaksanakan pelbagai aktiviti kesedaran kesihatan antaranya kempen derma darah, kempen kesihatan mental, program antimerokok termasuk kesedaran mengenai penyakit kanser.

“Antara program kesihatan yang dilaksana KKM bersama Persatuan Jalinan Kasih Harapan Rakyat Sabah termasuk program pencegahan penyakit jantung di Merotai. Pelbagai aktiviti diadakan termasuk pemeriksaan keadaan jantung, pemberian vaksin papilomavirus manusia (HPV) dan pemeriksaan kesihatan secara percuma serta ceramah bersama doktor pakar jantung,” katanya.

Seorang pekerja ladang di Paitan, Beluran Hendica Johhni, 40, pula berharap kerajaan dapat mewujudkan kembali klinik komuniti, selain klinik kesihatan bergerak untuk memudahkan penduduk di luar bandar mendapat akses kesihatan.

“Sabah ini besar, misalnya kalau dari Paitan mahu ke Hospital Beluran itu sangat jauh. Kalau penduduk tiada kenderaan ketika kecemasan, keadaan boleh jadi buruk. Jadi pada saya klinik komuniti perlu dibuka di kawasan pedalaman,” katanya.

Pesara kerajaan Binan Japar, 61, pula berharap bilangan petugas di zon kritikal hospital di negeri ini ditambah seiring dengan keperluan semasa supaya pesakit khususnya yang kritikal, dapat menerima rawatan dengan segera.

-- BERNAMA

 

 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan