PUTRAJAYA, 29 Nov (Bernama) -- Cuti semua Jemaah Menteri dibekukan susulan bencana banjir yang melanda negara ketika ini.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika memaklumkan perkara itu berkata semua menteri dan timbalan menteri turut diarahkan untuk turun padang ke kawasan bencana.
"Semua menteri diminta teruskan tugas sekarang, turun (ke lapangan). Ya (cuti dibekukan)," katanya kepada pemberita selepas menunaikan solat Jumaat bersama lebih 500 jemaah di Surau Pudina, Presint 17 di sini hari ini.
Beliau berkata demikian ketika ditanya mengenai sama ada cuti anggota Kabinet akan dibekukan ketika bencana banjir melanda negara pada masa ini.
Hujan berterusan menyebabkan jumlah mangsa banjir di beberapa negeri meningkat mendadak dengan Kelantan mencatatkan jumlah tertinggi, iaitu sebanyak 59,232 mangsa telah dipindahkan ke 221 pusat pemindahan sementara (PPS) setakat pagi ini, berbanding 50,947 orang di 207 PPS malam tadi.
Di Terengganu, sebanyak 20,911 mangsa daripada 5,916 keluarga berlindung di 232 PPS setakat 8 pagi ini berbanding 17,762 orang semalam.
Negeri lain yang turut terjejas banjir ialah Kedah, Perlis, Perak, Negeri Sembilan dan Selangor.
Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) mengeluarkan amaran hujan berterusan melibatkan lapan negeri iaitu Kelantan, Terengganu, Perak, Pahang, Perlis, Kedah, Pulau Pinang dan Johor, hingga esok.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial