JENAYAH & MAHKAMAH

Wanita Rugi RM34,800 Kerja Sambilan Dalam Talian

29/11/2024 06:30 PM

SIBU, 29 Nov (Bernama) -- Seorang penjawat awam wanita berusia 40-an kerugian RM34,800 selepas menjadi mangsa penipuan tawaran kerja sambilan dalam talian.

Ketua Polis Daerah Sibu ACP Zulkipli Suhaili berkata wanita itu menerima panggilan daripada seorang individu menerusi aplikasi Telegram pada 24 Nov lepas dan ditawarkan bekerja sambilan dengan komisen yang tinggi.

Mangsa telah diminta untuk menyertai kumpulan Telegram yang dipanggil ‘TMO Mission Group’ dan dia diberikan pautan ke suatu laman web serta diarahkan untuk mengklik butang ‘Suka & Kongsi’.

“Mangsa menerima komisen untuk menyiapkan tugasan tersebut dan kemudiannya diberi tugasan lain iaitu menyalurkan derma atas nama Capillary Asset Management bagi membantu mereka yang memerlukan.

“Wang itu kononnya akan dipulangkan kepadanya selepas tugasan itu selesai,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Menurut Zulkipli mangsa melakukan dua transaksi pemindahan wang berjumlah RM34,800 kepada dua akaun bank yang diberikan suspek namun diberitahu kemudian untuk membuat ‘derma’ sebanyak RM34,000 lagi jika mahu mendapatkan semula wang yang dipindahkan sebelum ini.

Menyedari ditipu, wanita itu membuat laporan polis pada Rabu lepas dan kes disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

Zulkipli menasihati orang ramai supaya tidak mudah percaya dengan tawaran pekerjaan di media sosial terutamanya yang menjanjikan komisen tinggi selain menyemak kesahihan akaun bank atau nombor telefon di laman web https://semakmule.rmp.gov.my.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan