DUNIA

Ringgit Ditutup Tinggi, Cerminkan Trend Serantau

29/11/2024 08:43 PM

Oleh Abdul Hamid A Rahman

KUALA LUMPUR, 29 Nov (Bernama) -- Ringgit ditutup tinggi berbanding dolar AS pada hari dagangan terakhir bulan ini, mencerminkan pengukuhan beberapa mata wang serantau.

Pada 6 petang, mata wang tempatan naik kepada 4.4425/4495 berbanding dolar AS daripada 4.4440/4490 semalam.

Pengarah Urusan SPI Asset Management Stephen Innes berkata ringgit mengukuh menjelang hujung minggu, mencerminkan pergerakan yang menggalakkan dalam mata wang Asia yang lain.

“Pergerakan (forex Asia) ini didorong oleh keputusan Rizab Persekutuan (Fed) AS untuk tidak mencabar jangkaan pasaran mengenai penurunan kadar faedah, yang memberikan sentimen lemah kepada dolar.

“Sokongan tambahan daripada pasaran Perbendaharaan AS yang stabil, disokong oleh turun naik yang rendah susulan pencalonan Scott Bessent oleh bakal Presiden AS Donald Trump sebagai Setiausaha Perbendaharaan dan rundingan beliau baru-baru ini dengan Presiden Mexico mengenai isu sempadan,” katanya kepada Bernama.

Kenaikan mata wang Asia hari ini diterajui oleh yen Jepun, yang melonjak lebih 1 peratus berbanding dolar AS kepada paras tertinggi dalam tempoh enam minggu pada Jumaat, selepas inflasi di Tokyo yang lebih cepat daripada jangkaan menyokong spekulasi kenaikan kadar faedah oleh Bank of Japan bulan depan.

Ringgit diniagakan rendah berbanding sekumpulan mata wang utama.

Ia rendah berbanding pound kepada 5.6384/6473 daripada 5.6217/6280, susut berbanding euro kepada 4.6899/6973 daripada 4.6800/6852 dan merosot berbanding yen Jepun kepada 2.9589/9638 daripada 2.9258/9293 semalam.

Mata wang tempatan turut diniagakan rendah berbanding mata wang ASEAN.

Ia merosot berbanding dolar Singapura kepada 3.3146/3200 daripada 3.3056/3095, susut berbanding rupiah Indonesia kepada 280.2/280.8 daripada 279.9/280.5 dan berkurangan berbanding baht Thailand kepada 12.9459/9738 daripada 12.8999/9211.

Ia susut berbanding peso Filipina kepada 7.58/7.59 daripada 7.57/7.58.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan