AM

Program Agromarketing Masterclass FAMA Bersama Tiktok Shop Catat Jualan RM4 Juta

30/11/2024 10:41 PM

KUALA LUMPUR, 30 Nov (Bernama) -- Program Agromarketing Masterclass anjuran Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) dan TikTok Shop yang berlangsung lima bulan bermula Jun lepas, berjaya meraih RM4 juta, melepasi sasaran RM3 juta ditetapkan. 

Ketua Pengarah FAMA Abdul Rashid Bahri berkata program melibatkan 160 peserta mewakili 80 syarikat itu  secara keseluruhannya telah menjual 425 jenis produk agromakanan sepanjang tempoh pelaksanaan.

"Kita mencapai RM4 juta nilai jualan dan mencatatkan lebih 620,000 minit siaran, 3.5 juta tontonan dengan kandungan e-dagang yang dihasilkan mendapat tontonan terkumpul sebanyak 17 juta. Saya optimis mereka yang terlibat akan meneruskan jualan melalui TikTok Shop dan akan memperoleh lebih banyak kejayaan pada masa hadapan," katanya. 

Abdul Rashid berkata kepada pemberita pada Majlis Penyampaian Anugerah Program Agromarketing Masterclass: TikTok Shop Edition serta Grand Final Pertandingan Penstriman Langsung program itu di sini hari ini.

Program itu juga disertai 13 usahawan Orang Kurang Upaya (OKU) yang berjaya meraih hasil jualan sebanyak RM286,000 melalui 1,500 sesi jualan langsung di TikTok Shop.

Berdasarkan kejayaan kali ini, Abdul Rashid berkata FAMA bersama TikTok Shop akan menganjurkan program itu semula pada suku kedua tahun hadapan untuk membantu lebih ramai usahawan mengembangkan perniagaan mereka.

Sementara itu, Pengarah Perhubungan Strategik TikTok Shop Nur Azre Abdul Aziz berharap penganjuran program seumpamanya dapat membantu lebih banyak usahawan mengembangkan perniagaan mereka tanpa mengira usia atau lokasi mereka berada.

"Kami  sangat berbangga dengan usahawan yang terlibat khususnya dari Industri Kecil dan Sederhana (IKS), dengan ada antara mereka sebelum ini tidak pernah membuat 'live' atau malu (untuk beraksi di depan kamera)  tetapi kini boleh menjadi antara lima finalis teratas dan dinobatkan juara.

"Kami berharap untuk menembusi lebih banyak kawasan luar bandar kerana ada usahawan yang membuat penstriman langsung dari ladang sendiri. Kita mahu membantu lebih ramai usahawan seperti ini menerusi platform pemasaran yang lebih konsisten dan berstruktur," katanya.

Pada program itu, usahawan Wan Habsah Wan Ahmad, 50, atau dikenali sebagai Chef Ustazah HQ di TikTok Shop yang menjual produk makanan seperti nasi Arab, kicap, sos dan perencah masakan dinobatkan sebagai Usahawan Terbaik Keseluruhan, walaupun bermula dari 'kosong' dalam bidang pemasaran dalam talian.

"Dahulu, hendak mencari butang end live pun tidak tahu, tetapi kini jualan boleh mencecah ribuan ringgit sehari, berbanding RM30 sebelum ini. Jika dahulu, saya menggunakan kereta untuk membeli bahan mentah, sekarang perniagaan semakin maju sehingga pembekal yang menghantar barang ke kilang," katanya. 

Sementara itu, bekas jurutera Amir Mohsin Mohd Bahrudin, 35, dinobatkan sebagai pemenang bagi Grand Final Pertandingan Penstriman Langsung 2024, hasil kesungguhannya membuat penstriman langsung antara 12 hingga 17 jam sehari melalui akaun ‘Dapur Pak Amir’ menerusi TikTok Shop. 

Beliau yang beralih ke dunia keusahawanan menjual pelbagai jenis sambal dan daging salai selepas kemalangan dialaminya enam tahun lepas menyebabkan dirinya menjadi OKU, kini boleh berbangga kerana dapat menggaji lebih pekerja ekoran permintaan tinggi terhadap produk jualannya. 

"Saya berjaya meningkatkan jualan sebanyak lima kali ganda, sehingga perlu menambah lima pekerja. Malah demografi pelanggan juga semakin meluas, bukan hanya dalam negara, tetapi ada pembeli dari Singapura," katanya. 

Sebanyak lapan kategori anugerah telah dipertandingkan antaranya Usahawan Baharu Terbaik, Usahawan Makanan Terbaik, Usahawan Bukan Makanan Terbaik, Usahawan Sejuk Beku Terbaik, Usahawan OKU Baharu Terbaik, Usahawan Aspirasi, Usahawan Terbaik Keseluruhan serta Top 5 Grand Final Pertandingan Penstriman Langsung 2024.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan