KUALA LUMPUR, 1 Dis (Bernama) -- Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) mengumumkan peruntukan tambahan RM7 juta bagi membantu mangsa banjir di seluruh negara, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Dr Mohd Na'im Mokhtar.
Beliau berkata peruntukan itu adalah tambahan kepada peruntukan sebanyak RM5 juta yang telah diumumkannya semalam, menjadikan jumlah keseluruhan peruntukan untuk membantu mangsa banjir ialah RM12 juta.
“Daripada RM7 juta (peruntukan tambahan) itu, RM2 juta adalah daripada MAIWP, manakala bakinya daripada Yayasan Taqwa MAIWP. Sumbangan tambahan ini melihat kepada keadaan semasa banjir yang semakin memburuk dan akan disalurkan untuk mangsa banjir khususnya di Pantai Timur,” katanya.
Mohd Na’im berkata demikian kepada pemberita ketika ditemui di Karnival Soul Journey Belia Asnaf Sempena 50 Tahun MAIWP, di Kolej Profesional Baitulmal di sini hari ini.
Sementara itu, Mohd Na'im menasihatkan orang ramai untuk berhati-hati dan tidak melakukan sesuatu yang boleh memudaratkan diri, seperti video seorang lelaki menunaikan solat dalam banjir di hadapan rumah, yang tular di media sosial baru-baru ini.
“Islam mengajarkan umatnya agar tidak melakukan sesuatu sehingga memudaratkan diri... kalau datang bah (banjir) besar dia boleh hanyut. Ada kaedah yang lebih selamat dan kita juga kena berhati-hati,” katanya.
Selain aspek keselamatan diri, Mohd Na'im berkata tindakan lelaki itu juga berkemungkinan menimbulkan salah faham kepada masyarakat.
Banjir yang melanda beberapa negeri semakin memburuk dengan 152,377 orang pagi ini, berbanding 146,611 orang malam tadi, dengan Kelantan terus mencatatkan jumlah mangsa paling tinggi diikuti Terengganu, Kedah, Negeri Sembilan, Johor, Melaka, Pahang, Perlis dan Selangor.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial