SETIU, 1 Dis (Bernama) -- Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) melakukan penerbangan ihsan dengan membawa seorang kanak-kanak lelaki berusia tiga tahun bagi mendapatkan rawatan kecemasan di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ), Kuala Terengganu, hari ini.
Kementerian Pertahanan dalam kenyataan memaklumkan Muhammad Uwais Zainudin yang dirawat di Hospital Setiu sebelum ini diterbangkan dari padang Sekolah Menengah Sains Setiu pada 4.48 pagi ke Lapangan Terbang Sultan Mahmud, Kuala Terengganu.
“Penerbangan menerusi penugasan Op Murni itu dibuat menggunakan helikopter EC725 AP dari Detasmen No 10 Skuadron, Pangkalan Udara Gong Kedak susulan banjir besar di Terengganu yang menyebabkan kebanyakan jalan darat tidak dapat dilalui,” menurut kenyataan itu.
Kementerian Pertahanan memaklumkan sebaik tiba di Lapangan Terbang Sultan Mahmud pada pukul 5 pagi, Muhammad Uwais yang menghidap penyakit Ocular Myasthenia Gravis terus dibawa menaiki ambulans ke HSNZ bagi mendapatkan rawatan.
Pesawat berkenaan diterbangkan Komander Pesawat Mejar Mohd Fazruzaman Md Faril dan Kapten Mohammad Ayub Mohmad selaku Pembantu Juruterbang
"Turut terlibat Kuartermaster Udara Flait Sarjan Muammar Ghadaffi Abu Hamid dan Pegawai Perubatan Dr Siti Norliyana Aimuni Mustafa serta Pembantu Perubatan Nor Azlan Mohd Nawi yang bertindak menstabilkan dan memantau pesakit sepanjang dalam penerbangan,” menurut Kementerian Pertahanan.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial