Daripada Anas Abu Hassan
LAS VEGAS, 5 Dis (Bernama) -- Industri telekomunikasi Malaysia digesa mempercepat penerimagunaan kecerdasan buatan generatif (Gen-AI) dalam tempoh beberapa tahun akan datang untuk meningkatkan dan mengoptimumkan operasi, menurut Amazon Web Services Inc (AWS).
Pengarah Pengurusan Produk bagi Telekomunikasi/5G dan EC2 Edge AWS Amir Rao berkata di peringkat global, penyedia perkhidmatan awan telah mengenal pasti berlakunya peningkatan penggunaan AI dan pembelajaran mesin (ML) dalam industri telekomunikasi sejak 18 bulan lepas.
“Kami mengenal pasti perkhidmatan AI dan ML digunakan secara ketara untuk rangkaian radio dan proses pengoptimuman kuasa dalam kalangan peserta industri telekomunikasi global.
“Kini, kami sedang menyaksikan fasa seterusnya -- era Gen-AI. Seiring dengan perkembangan ini, terdapat perbincangan yang semakin rancak memgenai cara pengendali rangkaian boleh menjana keuntungan daripada capaian, jumlah pelanggan dan aset fizikal masing-masing. Dalam aspek inilah kami bekerjasama dengan mereka,” katanya dalam temu bual ekseklusif dengan Bernama.
Amir berkata demikian di luar acara AWS re:Invent 2024, persidangan teknologi terbesar AWS yang diadakan di sini, yang menghimpunkan kira-kira 60,000 peserta industri dan berlangsung dari 2 hingga 6 Dis, 2024.
Sementara itu, Ketua Telekomunikasi AWS bagi Asia Pasifik dan Jepun Jay Nagarajan berkata syarikat telekomunikasi perlu mengembangkan operasi masing-masing untuk memanfaatkan teknologi baharu dengan berkesan.
Beliau berkata langkah mengoptimumkan operasi, membangunkan perkhidmatan baharu serta mengoperasikan rangkaian berskala dan menguntungkan dari segi kos adalah keutamaan yang memacu kemajuan dalam sektor telekomunikasi.
“Apabila peserta telekomunikasi ini menjadi lebih cekap dalam operasi masing-masing, mereka juga menjadi lebih cekap untuk pembangunan masa depan mereka, ini yang penting. Tugas kami di AWS adalah memastikan usaha mereka tidak sukar dan dapat bergerak selancar mungkin.
“Pendekatan kami adalah menawarkan perkhidmatan awan di samping manfaat yang disediakan oleh rakan kongsi teknologi kami termasuk penyedia peralatan rangkaian terkemuka,” katanya.
Mengenai landskap telekomunikasi Malaysia, Jay menekankan cabaran yang dihadapi oleh sektor itu dalam beberapa tahun kebelakangan ini, terutamanya keperluan untuk pelaburan yang besar.
Pada 2024, AWS menyaksikan kematangan beberapa perkembangan, termasuk eksperimen Gen-AI sejak beberapa bulan lepas dan akan muncul sebagai tema penting menjelang 2025, katanya.
“Kalangan ketua pegawai eksekutif dan anggota lembaga pengarah pengendali telekomunikasi semakin fokus untuk memperoleh lebih banyak nilai dan hasil daripada Gen-AI. Saya menjangkakan lebih banyak rangkaian menjadi berasaskan awan pada 2025,” katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial