EKONOMI

PERDAGANGAN BORONG, RUNCIT NAIK 5.5 PERATUS , JUALAN CECAH RM150 BILION PADA OKTOBER 2024

11/12/2024 01:41 PM

KUALA LUMPUR, 11 Dis (Bernama) --  Sektor perdagangan borong dan runcit Malaysia melakarkan rekod baharu pada Oktober 2024 apabila mencatat nilai jualan RM150.1 bilion, dengan peningkatan 5.5 peratus berbanding tempoh yang sama tahun lepas, kata Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM). 

Dalam kenyataan mengenai prestasi perdagangan borong dan runcit Oktober 2024 hari ini, katanya pertumbuhan ini melebihi 5.0 peratus kenaikan pada September, memberi isyarat daya tahan sektor itu dalam persekitaran ekonomi yang stabil. 

Lonjakan dalam jualan didorong oleh prestasi kukuh merentas subsektor perdagangan runcit, perdagangan borong dan kenderaan bermotor, katanya. 

"Perdagangan runcit mendahului carta, meningkat 7.1 peratus kepada RM64.9 bilion manakala perdagangan borong menyumbang RM66.3 bilion, dengan kenaikan 4.8 peratus.

"Subsektor kenderaan bermotor juga menunjukkan tanda-tanda pemulihan yang positif, dengan pertumbuhan 2.7 peratus kepada RM18.9 bilion," menurut kenyataan itu. 

Ketua Perangkawan Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin berkata perdagangan runcit telah menunjukkan daya tahan yang luar biasa, didorong oleh pertumbuhan menyeluruh merentas segmennya.

 “Jualan runcit di kedai bukan pengkhususan meningkat 8.5 peratus manakala jualan runcit makanan, minuman dan tembakau melonjak 9.0 peratus, menterjemah perbelanjaan pengguna yang kukuh semasa musim perayaan," katanya dalam kenyataan sama. 

Beliau berkata angka pertumbuhan Oktober turut dipengaruhi oleh faktor bermusim seperti sambutan Deepavali, cuti sekolah dan penganjuran acara seperti siri jelajah jualan Mega Agro MADANI, yang menyumbang kepada peningkatan trafik dan jualan.

Menurutnya perdagangan borong turut menunjukkan prestasi kukuh, dengan kenaikan ketara daripada jualan borong makanan, minuman dan tembakau, naik 8.9 peratus, di samping perolehan dalam jualan borong jentera, peralatan dan bekalan (naik 8.3 peratus) dan jualan borong bahan mentah, pertanian dan haiwan hidup (menokok 7.9 peratus).

Mohd Uzir berkata subsektor perdagangan borong terus menjadi tunjang ekonomi, didorong oleh peningkatan permintaan untuk barangan keperluan dan barangan bernilai tinggi.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan