KUALA LUMPUR, 11 Dis (Bernama) -- Proses pengukuran tanah Hak Adat Bumiputera (NCR) di Sarawak kini hampir selesai, dengan hanya sekitar 13 peratus daripada keseluruhan keluasan tanah yang dianggarkan masih belum disukat.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) Dr Zaliha Mustafa berkata pelaksanaan program pengukuran tanah NCR di Sarawak telah mendapat kelulusan peruntukan RM100 juta di bawah Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12) dan daripada jumlah itu, RM66.6 juta telah disalurkan kepada kerajaan negeri Sarawak manakala RM15 juta lagi pada tahun depan.
“Namun peruntukan RM15 juta yang disediakan untuk 2025 tertakluk kepada syiling sedia ada di bawah RMK-12, prestasi semasa pelaksanaan program dan keupayaan agensi pelaksana dalam melaksanakan kerja-kerja pengukuran.
"Sekiranya kerajaan negeri Sarawak berpendapat terdapat asas dan keperluan mendesak untuk mempercepatkan proses pengukuran ini, permohonan rasmi dengan justifikasi yang kukuh boleh dipanjangkan kepada Kementerian Ekonomi bagi mempertimbangkan penambahan peruntukan," katanya ketika sesi soal jawab di Dewan Negara hari ini.
Beliau menjawab soalan tambahan Senator Pele Peter Tinggom mengenai kemungkinan penambahan peruntukan bagi pengukuran tanah NCR pada tahun hadapan.
Zaliha berkata sejak 2010, sebanyak RM282 juta telah disalurkan kepada kerajaan Sarawak di bawah peruntukan pembangunan untuk pelaksanaan kerja-kerja pengukuran tanah NCR.
“Secara kumulatif, sehingga November 2024, pengukuran perimeter seluas 1,179,893 hektar dan pengukuran lot individu seluas 114,169 hektar telah berjaya diselesaikan,” katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial